Ikuti Blog ini

KDYMM Tuanku Sultan rasmi Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu

http://www.wartakedah.net/images/puleh.jpg

JITRA - Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berperanan penting membantu proses pembangunan di negara ini dan PDRM telah dengan berkesan memenuhi tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang serta memastikan bahawa prinsip ketiga Rukun Negara dalam aspek kedaulatan undang-undang terus didokong.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah bertitah, dengan memastikan undang-undang terpelihara, kestabilan negara dapat dijamin bagi membolehkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan komersial dapat berlangsung.

“Pada hari ini, anggota PDRM menghadapi tugas yang lebih mencabar, dengan kejadian-kejadian jenayah di samping bentuk dan corak jenayah yang berlaku juga turut memerlukan kepakaran yang lebih tinggi,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini.

Kompleks yang dibina pada 3 Julai 2006 dengan kos sebanyak RM71 juta itu siap sepenuhnya pada Oktober 2009. Kompleks tersebut dilengkapi dengan sebuah blok pentadbiran dan juga bangunan sokongan yang terdiri daripada stor transit dan stor awam, cawangan kenderaan, bengkel, unit kediaman dan kemudahan lain.

Baginda bertitah, pertambahan penduduk, pergerakan manusia yang lebih mudah dan pantas, kemajuan dari segi komunikasi, dunia tanpa sempadan, semuanya telah menunjukkan senario baru ‘trend’ kejadian jenayah.

Oleh itu, titah Baginda, adalah menjadi tanggungjawab PDRM untuk meningkatkan perhatian serta mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta penguasaan teknologi dalam mengekang dan menangani cabaran jenayah masa kini.

“Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu ini telah menyediakan ruang kerja yang lebih selesa kepada pegawai serta anggotanya dan masyarakat di sekitar Kubang Pasu juga akan mendapat manfaat melalui kemudahan-kemudahan yang disediakan di kompleks ini,” titah Baginda.

Baginda bertitah, masyarakat hendaklah memberi kerjasama dengan menyokong usaha-usaha pasukan PDRM untuk menguatkuasakan undang-undang.

“Dalam hal ini, anggota masyarakat hendaklah aktif, menjadi mata dan telinga Pasukan Polis dengan melaporkan kejadian-kejadian jenayah yang berlaku di kawasan mereka,” titah Baginda.

Baginda bertitah, bagi kawasan yang memperlihatkan kejadian jenayah yang tinggi, anggota masyarakat setempat wajib tampil ke hadapan melakukan tugas kawalan dan rondaan seperti skim rondaan sukarela, rukun tetangga dan skim kejiranan.

Turut hadir ialah Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak; Menteri Dalam Negeri, YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Pemangku Ketua Polis Kedah, Dato’ Asri Yusoff.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .