
Anwar pula akan mengisi pentas pidato pada hari kedua program, pada 20 November ini bersama timbalan pesuruhjaya dan ketua penerangan PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Datuk Amiruddin Hamzah.
Pada malam terakhir, ceramah akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abd Rani dan Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.
Pelbagai acara akan dilangsungkan sepanjang majlis tiga hari itu antaranya konvoi pemuda, persembahan nasyid dan pentomen, tahlil perdana, acara pasti, klinik 'smart' solat, ijtimak ulama dan guru-guru pondok serta ijtimak pelajar Memali.
Turut diadakan juga adalah pameran Memali dan Pendidikan Islam Kedah, kaunter pemeriksaan kesihatan dan perubatan percuma, kaunter daftar pemilih, kaunter keahlian PAS dan sukarelawan pemuda PAS Kedah serta gerai-gerai jualan.

Tragedi Memali pada 1982 menyaksikan 14 orang terbunuh ketika bangkit menentang lebih 3,000 anggota polis yang cuba menahan Ibrahim Libya yang merupakan orang kuat PAS dan 35 pengikutnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.
Mereka didakwa disyaki terlibat dalam kegiatan yang menggugat keselamatan negara.
Menurut kerajaan, semasa operasi tersebut, pihak polis telah diserang oleh pengikut-pengikut Ibrahim dengan bersenjatakan senjata api, parang, pedang dan buluh runcing.
Pihak polis telah menyeru mereka supaya meletakkan senjata dan menyerah diri secara aman tetapi didakwa tidak diendahkan dan demi mempertahankan diri dan mematahkan serangan tersebut, pihak polis mendakwa terpaksa menggunakan senjata api dan melepaskan tembakan.
Peristiwa tersebut, telah mengorbankan empat anggota polis dan 14 orang awam termasuk Ibrahim manakala 23 anggota polis dan 14 orang awam mengalami kecederaan.
Selepas tragedi berdarah kira-kira 25 tahun lalu itu, kerajaan BN sentiasa dikaitkan dengan arahan menembak penduduk kampung tersebut. M'kini