PULAU PINANG, 11 Dis: ‘Berubah Sekarang' menjadi tema Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Kedua yang bakal diadakan di Dewan Millenium, Kepala Batas pada 18 dan 19 Disember ini.
Tema yang nampak garang pastinya mencernakan kesungguhan kerja yang lebih cemerlang jika mahu menjayakan hasrat ke Putrajaya sekaligus menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional.
Pengarah Konvensyen Pakatan Rakyat, Dr Mujahid Yusof Rawa dalam sidang medianya bersama Setiausaha Sosialis Pemuda DAP (DAPSY), Ng Wei Aik dan Setiausaha Pakatan Rakyat Pulau Pinang, Senator Datuk Mustaffa Kamal Mohd Yusuf di luar dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) petang semalam menggariskan beberapa perkara yang menjadi keutamaan perbincangan.
Antaranya, kata Mujahid persediaan Pakatan Rakyat merancang strategi bagaimana untuk memenangi hati rakyat agar terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Rakyat ketika menghadapi BN pada pilihanraya umum ke-13 nanti.
Keduanya, mengemukakan beberapa polisi seperti cadangan meningkatkan ekonomi, memajukan sosio budaya, mempereratkan keakraban bersama serta tidak ketinggalan mendedahkan kepada rakyat tentang kejayaan yang telah dicapai sepanjang memerintah di empat buah negeri iaitu di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang menjadi ikon pentadbiran yang telus dan bersih.
Negeri Perak juga katanya, turut mempamerkan beberapa kejayaan sebelum dirampas oleh BN dengan cara kotor dan tidak demokratik.
Beliau turut menjelaskan logo yang bertemakan warna oren berlatar belakangkan warna putih menunjukan keserasian antara parti yang bergabung di bawah naungan Pakatan Rakyat.
Gambar tiga individu pula memberi makna tiga parti sedia bersatu menumpaskan BN yang begitu angkuh semasa memerintah.
Cahaya matahari pula, katanya menunjukan harapan baru kepada Pakatan Rakyat bertekad menuju ke Putrajaya sementara sinaran menggambarkan sokongan yang terbit daripada badan bukan kerajaan (NGO), rakyat yang senantiasa berharapkan perubahan dan media yang selalu berlaku adil membantu Pakatan Rakyat mereaslisasikan perubahan sebagaimana dalam manifesto masing-masing.
Manakala pancutan air pula memberi makna kehidupan yang melimpah ruah menanti kemenangan Pakatan Rakyat sekiranya rakyat memberikan kepercayaan Pakatan Rakyat memerintah Malaysia.
Menurut Mujahid lagi, logo itu sekaligus memberi nafas baru kepada Pakatan Rakyat untuk menandingi kekuatan BN yang hanya bergantung pada wang ringgit, media yang berat sebelah serta jentera kerajaan.
"Kita akan menanti BN selepas ini dalam padang pilihanraya. Bagaimana pun logo yang digunakan ketika konvensyen itu bukan logo Pakatan Rakyat. Jangan salah anggap," ujarnya kepada wartawan. -hrkh