Sejak menerajui Kelantan sejak 1990, Menteri Besar ini biasanya akan membubarkan DUN seiring dengan pembubaran Parlimen oleh Barisan Nasional (BN), agar kedua-dua pilihan raya diadakan serentak.
Tradisi itu diteruskan ketika pada 2004 ketika Terengganu diterajui PAS.
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, sama ada pilihan raya DUN wajar dilaksanakan berasingan atau sebaliknya, keputusan itu perlu dikaji terlebih dahulu khususnya terhadap kesan yang bakal dihadapi oleh kerajaan berkenaan sekiranya ia dilaksanakan.
Dipetik Harakahdaily yang menemui beliau di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini semalam, Nik Aziz mengulas kenyataan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipetik berkata kerajaan negeri dikuasai perikatan tiga parti itu mempunyai pilihan untuk mengadakan pilihan raya Dun berasingan jika kerajaan BN mengadakan pilihan raya umum tahun hadapan.
Katanya, kuasa membubarkan DUN adalah hak milik kerajaan negeri dan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat berhak mengadakan pilihan raya negeri.
Nik Aziz menambah sekiranya cara berkenaan dilaksanakan, ia akan memudahkan pelbagai jentera Umno dan BN menyerang negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.
“Jadi saya rasa cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan,” ujarnya.
Pakatan Rakyat kini menerajui Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Laporan pertengan tahun ini menyebut kemungkinan Kedah, Pulau Pinang dan Selangor akan mengadakan pilihan raya DUN yang berasingan iaitu selepas tahun keempat mandat semasa.
Mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013, tetapi spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 kemungkinan diadakan suku pertama tahun depan.
Laporan Bernama semalam menyebut, Nik Aziz kini menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana masalah pinggang.
Anaknya Nik Omar berkata Murysidul Am PAS itu dirawat di hospital itu sejak Jumaat lepas setelah dinasihatkan pakar perubatan pada Rabu.
Nik Omar berkata masalah pinggang itu dihidapi ayahnya sejak sekian lama selepas terjatuh dari kuda.
Menteri Besar Kelantan berusia 79 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan baik. -MI