MTUC dakwa kerajaan ‘tembak curi’ umum selaras subdisi, naik harga
Penyokong protes kenaikan harga minyak mengambil bahagian dalam sebuah demonstrasi di Kuala Lumpur, 13 Jun 2008. — Foto Reuters
KUALA LUMPUR — Konges Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan kerajaan memilih cara “tembak curi” untuk mengumumkan pelarasan subsidi yang membawa kepada kenaikan harga bahan api dan gula berkuat kuasa Sabtu lalu.
Sehubungan itu badan induk pekerja itu berkata, langkah kerajaan yang diumumkan petang Jumaat lalu amat dikesali kerana keputusan diambil tanpa mengadakan perbincangan dengan kesatuan sekerja, badan pertubuhan bukan kerajaan termasuk badan pengguna.
“Kerajaan memilih malam Jumaat lalu untuk menaikkan harga bahan bakar petroleum dan harga gula.
“Ini untuk memastikan bahawa berita kenaikan harga bahan-bahan keperluan asas ini tidak serta-merta akan disambut oleh para wakil rakyat di Parlimen.
“Kali ini kerajaan telah memilih cara ‘tembak curi’ tanpa banyak perbincangan dan memberi maklumat awal,” kata Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dalam satu kenyataan.
Katanya, sebelum ini pegumuman kenaikan harga bahan bakar petrol dibuat ketika sidang Parlimen ditangguh.
“Amat jelas tarikh dan masa dipilih sebagai taktik pengolahan berita untuk memastikan berita ini akan tenggelam dan diharapkan orang ramai akan lalai dan tidak marah.
“Setelah diumumkan kenaikan harga ini para menteri yang bertanggungjawab dan menteri yang lain terus ‘padam’ tidak memberikan apa-apa pandangan.
“Seolah-olah adanya arahan agar berita kenaikan harga barangan ini tidak dibincangkan secara meluas,” kata Syed Shahir.
Beliau mendakwa satu pekara yang amat jelas ialah bagaimana berita kenaikan bahan asas ini diolah untuk memperdaya pandangan orang ramai.
Katanya lagi, perkataan seperti keseragaman harga, penyelarasan harga, penarikan subsidi, rasionalisasi harga telah digunakan.
“Perkataan ‘naik harga’ terus tidak muncul dalam akhbar dan media.
“Kenaikan harga bahan asas ini pasti akan membawa padah terutama kepada kaum pekerja yang berpendapatan rendah. Apabila harga barang keperluan asas ini naik, ia bermakna gaji kaum pekerja menurun.
“Kuasa beli yang dimiliki melalui upah gaji pada hakikatnya semakin merosot. Dua puluh sen harga gula naik ertinya dua puluh sen pula duit gaji kita semua turun,” kata beliau lagi.
Pemimpin kesatuan ini juga berkata, harus disedari bahawa walaupun yang dinaikkan hanya harga hanya gula dan bahan bakar petroleum tetapi yakinlah barangan lain juga akan turut sama naik.
“Ini kerana bahan-bahan ini bukan tegak berdiri sendirian.
“Gula bersangkutan dengan minuman dan kuih-muih manakala minyak, satu bahan yang paling penting untuk pengangkutan akan menjemput kenaikan harga bahan bahan lain,” kata beliau.
Syed Shahir juga berkata MTUC mahu agar pentadbiran Najib yang berslogankan “Rakyat Didahulukan” akan menterjemahkan slogan ini dengan tepat.
“Tembak curi tidak selari dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan,’” katanya. -TMI