LABIS, 27 Jan: PAS meminta dan merayu semua ahli dan penyokongnya agar menunaikan solat hajat khas malam ini iaitu malam Jumaat agar calon parti itu berjaya dalam pilihan raya kecil Tenang.
Pengarah Pilihan Raya PAS Tenang, Salahudin Ayub berkata, permintaan itu ditujukan kepada seluruh peringkat organisasi PAS agar menganjurkan solat hajat khusus malam ini.
"Saya memohan agar semua ahli dan penyokong PAS menunaikan solat hajat khas malam ini iaitu pada Jumaat yang mulia ini, memohon agar diberikan kekuatan oleh Allah kepada jentera kita yang sedang bertungkus lumus di Tenang ini yang kini hampir sampai ke garisan penamat.
"Minta pohonkan juga kepada Allah agar perjuangan dan calon kita diberikan perlindungan dari sebarang perbuatan khianat atau rancangan jahat atau sebarang gangguan dari pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.
Pengundi Tenang akan membuang undi Ahad 30 Januari ini selepas penamaan calon berlaku 22 Januari lalu.
PAS meletakkan Normala Sudirman atau Cikgu Mala (gambar) manakala BN meletak Mohd Azahar Ibrahim atau Tok Ai.
Sehingga ini, segla perancangan jentera PAS berjalan dengan baik bahkan banyak isu-isu yang datang membantu mereka.
Menurut Salahudin, banyak kawasan-kawasan yang selama ini kubu Umno berjaya ditembusi dan penduduk menerima baik kunjungan jentera dan juga calon PAS sendiri.
Sebelum ini, Mazlan Aliman dalam kenyataannya kepada media berkata, berdasarkan beberapa perkembangan baru yang diperolehinya, calon PAS serta jentera Pakatan Rakyat berjaya mendapat reaksi “positif” khususnya di kawasan perkampungan tradisi dan di masyarakat Felda yang sebelum ini sukar ditembusi.
Kampung tradisi yang terdapat di DUN Tenang adalah Kampung Redong, Air Panas dan Kampung Tenang.
“Di kampung tradisi kita mengambil pendekatan 'sentuhan peribadi'. Oleh kerana rumah di kampung tradisi tidak banyak, ia lebih mudah untuk kita terus berjumpa dengan pengundi.
“Perkampungan tradisi tidak terikat dengan badan-badan tertentu. Persepsi mereka berubah tentang PAS yang dikatakan sebagai kumpulan radikal atau ekstrem. Jadi mereka melihat kita berbeza.
“Kita berkampung di sana dan bahkan bila adanya kematian, mereka menyuruh kita memimpin tahlil,” katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas satu sidang media. -hrkh