Krisis Mesir: Mukhriz bidas sikap Pas
ALOR SETAR - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir membidas sikap pemimpin Pas yang masih membuat perbandingan situasi politik di Mesir dengan Malaysia dalam ceramah politik mereka.
Beliau berkata, isu itu tidak wajar dibangkitkan kerana situasi politik sebenar di kedua-dua negara amat ketara berbeza.
“Masih ada pihak cuba samakan situasi politik Mesir dan negara ini dengan tujuan mahu timbulkan kekecohan. Walaupun jelas pemerintahan di sini tak sama dengan Mesir, tapi mereka tetap kaitkan kononnya masih ada persamaan dalam beberapa aspek,” katanya.
Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, sebelum menimbulkan isu terbabit, pemimpin Pas sepatutnya membuat kajian terperinci dan bukan sekadar membuat andaian.
“Kerajaan Mesir tidak amal demokrasi tulen dan tidak jaga kebajikan rakyatnya, manakala Malaysia sebaliknya. Mesir juga menyekat kebebasan bersuara malah pembangkang di sana tidak boleh berpolitik, sedangkan Malaysia membenarkannya,” katanya.
Isnin lalu, Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan pada ceramah di Himpunan Pemuda Pas 30K, mahu Pemuda Pas bersatu meneruskan reformasi dan revolusi yang tercetus di seluruh dunia termasuk Tunisia dan Mesir dengan menjadikan kebangkitan itu sebagai suntikan semangat untuk mengubah politik dunia menggulingkan pemimpin yang rakus. Malah beliau percaya semangat itu akan sampai ke negara ini kelak.
Mukhriz berkata, amalan demokrasi di Malaysia adalah jauh lebih baik berbanding di Mesir dan tidak seharusnya dijadikan perbandingan.
Menurutnya, isu pengangguran di Mesir antara pencetus golongan muda di sana bangkit memberontak, sedangkan peratusan kadar pengangguran di negara ini masih terkawal.
“Di Malaysia situasi tidaklah seburuk di Mesir, oleh itu tidak wajar samakan apa yang berlaku di sana kelak boleh berlaku di sini. Kerajaan Persekutuan tidak pernah abaikan mana-mana pihak dan setakat ini bersikap adil pada pembangkang,” katanya. -SH
Ketara sangat Mukhriz ini seorang yang tidak membaca Al-Quran.
Kerana di dalam Al-Quran telah JELAS tercatat bahawa apa juga peristiwa yang berlau perlu menjadi pelajaran, perlu menjadi iktibar, perlu menjadi teladan. Kerana setiap peristiwa yang berlaku itu adalah SEMUANYA dari Allah s.w.t.
Samdon-samdol dari UMNO ini termasuk bapak menterinya adalah mereka yang pengecut terhadap apa yang berlaku di Mesir. Cuba menafikan senario itu bakal berlaku di dalam negara.
Kalau nak merasa sendiri, teruskan kezaliman ke atas rakyat, anda akan dapati suasana Kaherah akan berada di Kuala Lumpur nanti. -GB