Ikuti Blog ini

Janda-janda kesepian di Perlis perlukan perhatian.



KANGAR – Sebahagian besar golongan janda di negeri ini yang berjumlah 5,400 orang menghadapi sindrom kemurungan selepas berlaku perceraian sekali gus mengakibatkan mereka langsung tidak berminat untuk bersolek selepas perceraian.

Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri (JPWN) Perlis, Muhamad Hazimin Jamaludin berkata, golongan tersebut sama ada dicerai atau ditinggalkan suami mempunyai persepsi negatif bahawa mereka sudah tidak laku lagi untuk dipinang oleh mana-mana lelaki selepas menjadi janda.

Beliau berkata, paling memberi tamparan yang hebat kepada golongan tersebut ialah apabila mendapati suami meninggalkan mereka gara-gara berkahwin dengan wanita dari negara jiran yang dikatakan lebih cantik.

“Justeru tidak hairan tabiat golongan itu yang sebelum ini suka bersolek tiba-tiba berubah sehingga mereka trauma untuk bergincu atau berbedak kerana menganggap diri mereka tidak laku lagi.

“Situasi ini menyebabkan wanita tersebut akan menghadapi masalah kemurungan ekoran malu dan perasaan rendah diri untuk berhadapan dengan masyarakat,” katanya selepas dialog Memperkasakan Wanita dan Ibu Tunggal 2011 di sini semalam.

Majlis tersebut yang disertai lebih 100 ibu tunggal itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keluarga dan Masyarakat negeri, Mansor Jusoh.

Muhamad Hazimin berkata, berikutan itu, golongan tersebut lebih suka mengurung diri dalam rumah kerana bimbang pandangan serong masyarakat kononnya mereka sudah tidak cantik lagi.

Katanya, berdasarkan statistik sehingga September lalu, seramai 5,400 ibu tunggal di Perlis berdaftar dengan JPWN.

Ibu tunggal yang paling muda dikesan baru berusia 24 tahun dan menyara seorang anak. -sumber
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .