Ikuti Blog ini

Najib Bakal Di"Mubarak"kan Jika Terus Menekan Kerajaan Pakatan Rakyat

Kebangkitan rakyat Mesir: Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah

Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia.

Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.

Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir.

Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.

Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).

Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?

Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.

Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.

Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.

Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M

Demikianlah tajamnya pena TG Nik Abdul Aziz.

GB sekadar ingin menambah bahawa regim UMNO BN yang berkuasa di kerajaan pusat hari ini bakal mengundang nasib yang sama di Mesir jika mereka terus-terusan berlaku zalim ke atas rakyat, terus berusaha untuk merampas kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang telah dipilih SECARA SAH melalui pilihanraya, terus menekan dan menindas kerajaan kelantan dengan merompak dan tidak mengembalikan royalti minyak kepada kerajaan Kelantan sepertimana Perjanjian.

Adalah amat tidak wajar bagi kerajaan pusat membelakangkan konsep federalisma dengan tidak mengakui kemenangan orang lain, malah memperkudakan agensi-agensi kerajaan termasuk polis, SPRM, SPR dan seumpamanya untuk menekan kerjaaan-kerajaan negegi yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat.

Tragedi Perak adalah lambang kerakusan Najib.

Dan UMNO/BN melalui Datuk Seri Nazri Azizm mengakui kerajaan membayar sebanyak RM76.8 juta kepada Apco Worldwide Sdn Bhd melalui anak syarikat Mind Teams yang berpusat di Israel.
.
Sebelum ini dilaporkan nilai kontrak kerajaan dan APCO tersebut bernilai RM28 juta, namun sebaliknya Nazri berkata jumlah yang dibayar kepada APCO bernilai AS$24 juta.

Melalui jawapan bertulisnya kepada Tian Chua (PKR-Batu) di Parlimen, jumlah didedahkan Nazri adalah dua kali ganda daripada yang dilaporkan sebelum ini.

"Adakah perkhidmatan APCO begitu istimewa sehingga memerlukan bayaran sebegitu tinggi kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel?” tanya seorang ahli Parlimen, Tian Chua.

Nazri berkata, "melobi adalah perkara biasa di Amerika. Kita perlu lobi untuk mendapatkan apa yang kita mahu. Pelobi terbesar di Amerika adalah orang Israel," jelas beliau.

Menurut Nazri langkah diambil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cukup bagus bagi merapatkan hubungan dua hala serta melaksanakan liberalisasi ekonomi.

Jika hari ini Israel yang membela dan menolong Mubarak, kemungkinan hal yang sama berlaku di negara ini melalui APCO Worldwide. -GB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .