Shah Alam: Penasihat DAP Lim Kit Siang mahu satu rundingan meja bulat antara semua parti dan pihak badan bukan kerajaan (NGO) diadakan bagi menetapkan standard corak politik sekaligus menamatkan penggunaan taktik berpolitik secara kotor di negara ini.
Sambil menyatakan pendirian DAP dalam Pakatan Rakyat yang tetap berdiri teguh menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila dikaitkan dengan pendedahan video seks oleh ‘Datuk T’ minggu lalu, Kit Siang berkata taktik sedemikian perlu ditamatkan serta-merta jika mahu melihat senario politik negara menjadi maju.
“Bagaimana mahu tamatkan politik jijik di tanah air kita? Tangkap Datuk T, heret mereka ke muka pengadilan.
“Jika mereka tak bersedia ke arah itu, rakyat mesti sokong Pakatan Rakyat yang mahu bawa perubahan membersihkan politik kotor dan buatlah pilihan yang betul melalui pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam ceramah Solat Hajat dan Pidato Khas Menangkis Fitnah Jahat dihadapan kira-kira 8,000 penyokong yang hadir di Stadium Melawati di sini malam tadi.
Turut hadir Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, serta beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.
Nik Aziz yang hadir lewat bagaimanapun tidak memberikan sebarang ucapan apabila kelihatan sedikit uzur dan hanya menyampaikan doa kesejahteraan terhadap Anwar sekeluarga serta rakyat yang lain.
Selain itu, Kit Siang turut menegaskan isu video seks tersebut hanyalah taktik kotor Umno-Barisan Nasional (BN) untuk menyembunyikan kelemahan mereka mengurus tadbir negara terutamanya dalam menentang korupsi dikalangan pemimpin.
“Kalau sasarannya adalah Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, mungkinkah peristiwa tontonan di Seri Carcosa Negara akan berlaku?
“Tentunya tidak. Polis dan FRU akan sampai dahulu dan mereka tak akan benarkan tontonan video seks itu berlaku.
“Ini menunjukkan sikap berat sebelah dan wujud satu komplot politik untuk membunuh karier politik Anwar dan Pakatan,” katanya.
Pertama kali menteri pertahan pengedaran video lucah
Sementara itu, Anwar berkata buat pertama kalinya dalam sejarah negara individu yang mengedar dan menayangkan video lucah dipertahankan oleh menteri.
Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menjamin perlindungan terhadap trio ‘‘Datuk T’’ dibawah Akta Perlindungan Saksi dan Akta Pemberi Maklumat sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen semalam, Nazri berkata akta tersebut boleh digunakan bagi melindungi keselamatan trio itu yang bertanggungjawab mendedahkan video berkenaan.
“Tiada siapa boleh nafikan mengedarkan video lucah itu adalah salah, tetapi video yang membabitkan Pakatan Rakyat itu adalah ‘harus’,” katanya.
Menganggap ia sebagai rancangan yang licik dan jijik terhadap dirinya setiap kali menjelangnya musim pilihan raya, Anwar berkata isu itu merupakan langkah terakhir BN untuk mengelakkan daripada menyentuh soal Buku Jingga sekaligus menghalang kemaraan rakyat untuk berubah.
Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas pemimpin dan institusi agama yang sehingga kini masih enggan menyatakan pendirian terhadap isu penyebaran video lucah tersebut.
“Mereka sedang mengalami kecelaruan walaupun mereka tahu seseorang itu dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.
“Maka individu yang berdiam diri tentang kebenaran itu dianggap seperti ‘syaitan bisu’,” katanya. -FMT