Ikuti Blog ini

Azmin Dedah Muslihat '1 Melayu, 1 Bumiputera'

PULAU PINANG 23 APRIL : Lebih 1,000 orang membanjiri ceramah perdana ‘Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia’ bertempat di Dewan Sungai Tiram, Batu Maung malam tadi.

Mereka yang hadir kebanyakannnya berketurunan Melayu mengikuti pelbagai isu semasa yang disampaikan pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Antara isu yang disentuh ialah pembaziran emel 1Malaysia yang menelan kos RM50 juta, muslihat slogan 1Melayu, 1Bumi’ yang dibangkitkan Utusan Malaysia, sebuah akhbar kawalan Umno-Barisan Nasional (BN) dan banyak lagi.


Dalam ucapannya, Azmin menyelar sikap sikap hipokrit Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1Melayu, 1 Bumiputera yang dicanangkan Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan, konon untuk menyatukan semua Melayu sedangkan akhbar itu sebenarnya memecah belah perpaduan Melayu.

Azmin yang juha Ahli Parlimen Gombak itu kesal kerana Najib secara tiba-tiba menafikan hubung kait antara akhbar Utusan Malaysia dan pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) yang selama ini menjadi lidah rasmi parti itu.

“Inilah hipokrit Barisan Nasional pimpinan Najib. Najib kata: 1Melayu, 1Bumiputera pandangan Editor Utusan Malaysia.

“Wahai Najib dan Rosmah, kita tahu Utusan Malaysia disokong Umno. Kita tahu Utusan Malaysia surat khabar milik Umno. Kita juga tahu Utusan Malaysia hidup kerana Umno yang memainkan politik perkauman,” kata Azmin.

Selain Azmin dan Guan Eng turut berucap ialah Exco Pulau Pinang, Abdul Malek Abul Kassim dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Azmin menggantikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat hadir pada saat-saat akhir berikutan masalah kesihatan.

Terdahulu, Azmin hadir ke majlis makan malam PKR Cabang Bukit Gelugor di Tapak Pesta Sungai Nibong pada jam 8 malam sempena ulang tahun ketiga penubuhan cabang berkenaan. - tvs
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .