KUALA LUMPUR, 27 April: Salah seorang pelopor akhbar Harakah, Ustaz Mashhudi Bunyani, 68, meninggal dunia sekitar jam 8.30 pagi ini di rumahnya di Kampung Sungai Penchala, di sini.
Allahyarham yang menghidapi strok sejak beberapa tahun lalu menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan anak-anaknya di rumahnya setelah mengadu sesak nafas secara tiba-tiba.
Kematiannya di luar jangkaan isteri dan anak-anaknya kerana sebelum itu Allahyarham kelihatan sihat, malah rancak berbual-bual dengan ahli keluarganya.
(Gambar: Salahuddin Ayub bersama para petugas mengkafankan jenazah Allahyarham Ustaz Mashhudi. Foto: Wan Zahari)
Pemergian Allahyarham ke rahmatullah bukan sekadar mengejutkan seluruh ahli keluarga dan seluruh kakitangan Harakah, malah kesemua rakan-rakan yang mengenalinya.
Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Selamah Hussain, 59, dan 9 orang anak merupakan petugas awal akhbar Harakah sejak akhbar itu mula diterbitkan, manakala jawatan terakhirnya di Harakah adalah sebagai Pengarang Rencana.
Beliau berhenti dari berkhidmat sepenuh masa di akhbar Harakah sekitar empat tahun lalu kerana menghidapi strok, tetapi masih terus terlibat sehingga ke akhir hayat bagi pengisian kolum 'Mauidzah' Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Semasa hayatnya, Allahyarham turut menyumbangkan masa, tenaga dan kebolehannya bagi kerja-kerja penyusunan buku, terutama buku-buku Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terbitan unit buku Harakah.
Jenazah Allahyarham dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz, Sungai Penchala dan dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Sungai Penchala.
Selain kakitangan Harakah dari kesemua bahagian di ibu pejabatnya di ibu negara, antara pemimpin PAS terawal yang menziarahinya Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Subky Latif.
Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian turut mengimami solat jenazah.
Anak ketiga Allahyarham, Nasrullah, 35, menjelaskan, kematian Allahyarham diterima dengan reda oleh kesemua ahli keluarganya kerana ia sudah termaktub dalam ketentuan Allah.
"Walaupun pemergiannya merupakan satu kehilangan amat besar kepada kami, tetapi kami bersyukur kepada Allah kerana arwah ayah meninggal dunia dengan senang atau dalam keadaan mudah," jelasnya. -Hrkh