Ikuti Blog ini

Taib letak adik sendiri di Muara Tuang dipersoal

KOTA SAMARAHAN, 6 April: Tindakan Ketua Menteri Sarawak meletakkan adiknya sendiri, Datuk Sri Mohd Ali Mahmud, untuk bertanding di DUN Muara Tuang menyerlah amalan kronisme di kalangan keluarga Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Tindakan ini juga melambangkan Barisan Nasional (BN) tidak sedar apakah kehendak rakyat Sarawak sebenarnya sekarang hatta tidak sedar bahawa rakyat sudah muak dengan kekayaan dan kuasa yang berpusat di sekitar Taib Mahmud.

(Gambar: Mahfuz bersama calon PAS, Noraini [dua dari kiri] semasa perarakan calon)

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, hasrat rakyat untuk melakukan perubahan boleh dilaksanakan dengan memberikan undi kepada calon PAS yang bertanding di situ.

Hasrat ini, katanya, semakin jelas apabila golongan muda turut menyertai PAS melalui beberapa cawangan penaja PAS di Dun tersebut.

Menurutnya, sewaktu merasmikan penubuhan cawangan penaja malam tadi, ketua cawangannya, Abdul Rahman Doli meluahkan kebimbangan masa depan Sarawak jika tak berlaku perubahan politik baru.

"Isu di sini ialah soal kronisme di mana mereka tidak lagi begitu gembira dengan kepimpinan Tan Sri Taib Mahmud apatah lagi calon yang bertanding ini adik beliau sendiri.

"Kita lihat juga semalam kehadiran anak muda yang begitu mempunyai semangat yang tinggi untuk melakukan perubahan dan ini menunjukkan hasrat rakyat yang sebelum ini kita tidak tahu dan apabila PAS bertanding, baru kita tahu mereka cari kita," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Suarah hari ini.

Beliau juga berkata, BN tidak lagi menghadapi laluan mudah untuk mengekalkan kedudukannya di Dun tersebut.

"BN tak akan mendapat jalan yang mudah seperti sebelum ini. Kalau sebelum ini mereka ada jalan mudah untuk menang besar tapi saya percaya kali ini jalannya sukar.

"Contohnya, seperti yang berlaku di Tenang, BN berhempas pulas menurunkan jentera untuk melawan PAS," katanya.

Tambahnya, tindakan adik Taib itu kekal bertanding di Dun tersebut menunjukkan beliau dan abangnya Taib ingin menambahkan kekayaan.

"Muara Tuang ini mereka anggap begitu mudah untu menang dahulu, tetapi penolakan orang terhadap Taib Mahmud orang melihat bahawa tidak wajar untuk Taib Mahmud bertanding lagi dan mengekalkan adiknya, seolah-olah Taib Mahmud ingin meneruskan empayar kekayaannya," katanya. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .