PARIT BUNTAR, 11 Mei: Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi membohongi rakyat apabila menyatakan negara sedang mengorak langkah ke arah Model Baru Ekonomi (MEB) bagi merealisasikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi, mapan dan inklusif.
“Rakyat tetap berpendapatan rendah, yang berpendapatan tinggi cuma beberapa kerat elit Umno, kewangan rakyat makin tertekan bukan sahaja selepas kenaikan harga minyak bahkan terkini harga gula pula dinaikkan,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya yang juga Adun Titi Serong, rakyat Malaysia terus mengalami kesempitan berbelanja dengan pelbagai kenaikan harga barang dan lebih malang lagi Najib sebagai Menteri Kewangan tidak kreatif dan lemah untuk mencari alternatif perolehan wang negara.
Khalil yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat negeri menasihati Najib sekiranya mahu menjadikan negara sebagai wilayah berkedudukan lebih kukuh dan pesaing yang kompetitif di dunia, jangan selalu mengaut wang rakyat dengan sewenang-wenangnya.
Menurutnya, usaha menarik subsidi adalah usaha kerajaan mengurangkan pengagihan kekayaan negara kepada rakyat.
“Janganlah sampai wang rakyat dari lapisan bawahan pun mahu dikikis, jadilah orang yang kreatif dan bukannya pengikis wang rakyat.
“Apalah salahnya salurkan keuntungan Petronas kepada rakyat Malaysia setelah perusahaan minyak negara mendapat untung berlipat ganda apabila harga minyak pasaran dunia meningkat,” jelasnya lagi.
Katanya, Pakatan Rakyat telah menawarkan pelan untuk kesenangan rakyat untuk 100 hari pertama dan seterusnya seperti yang termaktub dalam Buku Jingga bahawa rakyat akan mendapat pelbagai keuntungan apabila Pakatan Rakyat mendapat mandat pada PRU 13 nanti.
“BN bukan berhasrat menyenangkan rakyat tetapi menyusahkan cara hidup rakyat, kerana itu rakyat perlulah memberi harapan kepada PR demi untuk pembangunan dan pengagihan kekayaan negara Malaysia secara menyeluruh,” katanya. -Hrkh