 - Perutusan Hari Belia Dewan Pemuda PAS
- Perutusan Hari Belia Dewan Pemuda PAS
Salam  perjuangan dan persahabatan dari saya dan EXCO DPP Malaysia buat  seluruh warga belia negara. Sempena sambutan Hari Belia, suka saya  menarik perhatian semua khasnya para belia kepada beberapa noktah untuk  penelitian bersama  ke arah membina masa depan agama, bangsa dan negara  yang mendapat keampunan tuhan.
1. Sesungguhnya belia merupakan  tonggak kepada sesebuah negara. Belia yang mempunyai nilai jati diri  hebat juga merupakan aset terpenting negara. Kita mengerti proses  pembaratan [ westernization ] semakin menular namun langkah kita tidak  boleh berhenti dan membiarkan ia terus melanda generasi belia hari ini,  lantaran syair yang mendesak semangat juang kita senantiasa berdengung  di cuping telinga :
لنا يد و العمل لنا غد و الأمل
Kita  mempunyai sumber tenaga dan tugasan [ yang perlu diurus ], kita juga  mempunyai masa depan dan wawasan [ yang perlu ditunai ]
2. Kita  seharusnya konsisten mengatur langkah untuk menganjakkan kepompong  paradigma belia. Dewan Pemuda PAS Malaysia menyarankan supaya negeri -  negeri yang diterajui Pakatan Rakyat membuka ruang seluas - luasnya  kepada golongan belia untuk mereka mengasah bakat kepimpinan termasuklah  menyediakan platform yang sesuai bagi mereka bersuara seperti sudut  pidato dan forum anak muda.
3. Sementara itu, Kita juga harus  menyedari bahawa generasi belia yang ada hari ini merupakan acuan sistem  pendidikan kebangsaan terhadap generasi remaja sewaktu mereka di alam  persekolahan beberapa tahun sebelum ini. Generasi remaja yang sedang  dibangku sekolah hari ini pula, merupakan generasi belia di masa akan  datang.
4. Gejala keruntuhan akhlak dan kebejadan sosial yang  berlaku dikalangan belia hari ini juga menjadi indikator yang jelas  tentang kelemahan sistem pendidikan kebangsaan. Malah sekiranya kita  melihat kepada aspek yang lain seperti perpaduan kaum, keyakinan upaya  diri dan daya saing dikalangan generasi belia, kesemuanya menunjukkan  sistem pendidikan nasional perlu direformasikan.
5. Malang sekali  dasar - dasar berkaitan dengan pendidikan seumpama "sekali air bah  sekali pantai berubah" iaitu mengikut kehendak atau selera siapa yang  menjadi menteri berkenaan.
6. Peranan golongan belia dan anak  muda bukan hanya perlu diperkasa dalam sektor sosial dan ekonomi semata -  mata tetapi juga dalam politik. Peranan mereka dalam PRU ke 12 yang  lalu sememangnya diakui, malah mereka juga berperanan penting dalam siri  pilihanraya kecil pasca tsunami politik 2008. Dewan Pemuda PAS begitu  menyedari bahawa golongan anak muda ini tidak mewarisi politik lama yang  lebih menjurus kepada perkauman dan konflik, sebaliknya golongan ini  lebih terbuka dan rasional.
7. Lantaran itu, saya turut mengambil  kesempatan untuk menyeru kepada setiap peringkat anggota pemuda PAS  agar mendalami perubahan ini yang bakal mewarnai wajah politik Malaysia  di masa hadapan. Wajah baru politik Malaysia sebenarnya telah  direalisasikan oleh golongan anak muda, justeru peranan mereka dalam  sektor politik tidak boleh diperkecilkan.
8. Meledak suhu  perubahan ke arah kerajaan dan pemerintahan yang lebih baik, sejahtera,  adil, berkebajikan dan mesra anak muda, saya ingin mengingatkan dan  malah menekankan betapa pentingnya golongan belia hari ini  yang telah  layak mengundi untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih yang sah dan  layak.
9. Sekiranya generasi belia ini terdidik dengan  tanggungjawab politik mereka sebagai rakyat Malaysia, saya yakin mereka  lebih bertanggungjawab dalam memilih pemimpin yang bakal menerajui  negara kelak dan kemungkinan untuk mereka menjana satu lagi tsunami  politik adalah lebih besar dalam Pilihanraya Umum ke 13 kelak.
10.  Justeru itu, kita memberi penegasan kepada semua angkatan belia agar  menolak perancangan halus pihak yang tidak bertanggungjawab menaja  budaya hedonisme untuk melalaikan pemikiran dan merosakkan peribadi  belia agar terus hanyut dan tenggelam dibawa arus jahiliyyah tanpa perlu  lagi mereka memberikan perhatian kepada gerakan perubahan demi masa  depan negara, bangsa apatah lagi agama.
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


 


 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
