Ikuti Blog ini

Siapa Bermain Api, Dia Yang Terbakar Nanti!

Utusan bermain api

KUALA LUMPUR : Gempar seluruh negara apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu seperti menyalakan api ketegangan antara agama ketika mencetus persoalan agama rasmi negara dengan spekulasi kononnya ada pihak tertentu yang berjuang untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, suatu fakta yang diketahui umum bahawa Perlembagaan negara telah memeteri Islam sebagai agama rasmi negara ini sementara ummat Islam pula masih menjadi golongan majoriti biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk.

Justeru itu, katanya Islam tidak sewajarnya tergugat dan ummat Islam tidak selayaknya membenarkan Islam digugat.

Jelasnya, PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara ini pastinya tidak lebih rendah usahanya untuk memperjuang, mempertahan dan menegakkan Islam berbanding Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, kegigihan serta kesungguhan PAS berjuang serta berkorban demi melihat Islam tegak dan berdaulat di dalam negara ini nyata tidak boleh dipertikai merentasi rekod dan sejarah perjuangannya.

“Sungguhpun PAS menyertai ‘kerjasama politik’ bersama parti-parti rakan kompenan Pakatan Rakyat (PKR dan DAP), namun PAS tidak pernah mengendurkan pedatinya untuk terus memacu perjuangan Islam, jauh sekali untuk berubah arah meninggalkan prinsip perjuangan yang didokong selama ini,” tegasnya.

Malah, tambahnya pacuan semakin kencang ke arah menguasai negeri bahkan negara agar bebas dari cengkaman pengaruh dan kuasa Umno juga Barisan Nasional yang menjadi punca Islam dilihat lemah serta terdedah kepada ancaman setelah lebih 50 tahun mereka memerintah, mengurus dan mentadbir negara.

Beliau berkata, andainya Islam hari ini dilihat terancam dan penganutnya pula lemah pegangan agama adalah menjadi tanggungjawab semua melewati peranan dan tugas yang sayugianya dilaksanakan.

Katanya lagi, sementara kerajaan selaku pemegang amanah rakyat untuk menjaga agama, negara dan warganya mestilah mengambil tanggungjawab dengan penuh keinsafan melepasi jangkauan sempadan kepentingan politik dan parti.

“Saya melihat spekulasi yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia kononnya terdapat pihak tertentu yang berusaha untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan Umno sebagai parti utama dalam Barisan Nasional menunaikan amanah yang digalaskan kepada mereka selaku pemerintah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, lebih 50 tahun rakyat memberi kepercayaan dan mandat kepada Umno mewakili Barisan Nasional untuk memimpin dan mentadbir negara khasnya untuk melindungi agama Islam dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menambah, malang sungguh, malang seribu kali malang apabila Islam bukan sahaja tidak semakin kuat dan utuh tetapi dikesan umum bahawa ia semakin susut dan merosot.

“Jika Umno berjaya dan mampu menjaga agama Islam ini dengan baik dan menjadikan ianya semakin hari semakin kuat dan hebat, saya percaya dan yakin spekulasi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini tidak akan timbul,” ujarnya.

Bahkan, katanya dalam masa yang sama, penganut-penganut agama selain Islam akan terasa aman dan selesa untuk mengamal serta menganut agama mereka.

Tambahnya, spekulasi yang dicetuskan oleh Utusan Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kelemahan dan kegagalan ketara Umno dan Barisan Nasional selaku pemerintah, ia juga berpotensi menyalakan api ketegangan antara agama.

“Pastinya situasi ini akan menggugat keamanan negara dan rakyat yang sepatutnya memperolehi hak hidup aman dan sejahtera,” katanya.

Menurutnya, spekulasi itu sangat tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, selain dari potensi menggugat keamanan, spekulasi sedemikian juga dilihat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka menjaga agama suci ini. -HD

DAP Selangor: Umno guna Utusan hasut Muslim benci Kristian

Kuala Lumpur, 8 Mei — Kesal dengan tindakan dua anggota Kabinet pentadbiran Najib, DAP Selangor percaya laporan Utusan Malaysia semalam berniat jahat dan mahu menimbulkan rasa kebencian umat Islam terhadap penganut Kristian.

Sambil menyifatkan laporan akhbar milik Umno itu sebagai fitnah, Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok mahu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia dan beberapa blogger yang mendedahkan laporan palsu itu.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Laporan muka hadapan dengan tajuk “Kristian agama rasmi?” itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro Umno.

“Saya merasa amat kesal terhadap reaksi Menteri Dalam Negeri dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana menerima laporan palsu Utusan Malaysia yang bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” tanpa menyoal dan mengesahkan kesahihan laporan tersebut terlebih dahulu.

“Laporan tersebut berfitnah bahawa DAP dan para penganut agama Kristian berhasrat menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi Malaysia.

“Laporan itu adalah palsu, tidak berasas dan berpandukan fitnah dua orang blogger pro-Umno yang mempunyai niat jahat mengapi-apikan perasaan takut, benci dan syak wasangka, terutamanya di kalangan penganut agama Islam terhadap penganut agama Kristian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, sepatutnya Hishammuddin dan Rais mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia dan bukan bersikap seolah-olah lepas tangan dalam perkara itu.

Selain itu, Kok juga kesal dengan tindakan kedua-dua menteri itu yang bersikap berat sebelah dalam menangani polemik terbaru itu.

“Lebih mengecewakan lagi, Hishammuddin dan Rais tidak mengutuk akhbar Utusan Malaysia atau cuba mententeramkan keadaan hening ini, tetapi sebaliknya mengeluarkan amaran kepada orang awam agar jangan mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

“Tindakan tersebut menunjukkan bahawa mereka jelas berat sebelah terhadap Utusan Malaysia dan menyokong laporan mereka tanpa sebarang siasatan,”
kata Exco Kerajaan Selangor ini.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab kononnya menyokong konsep 1Malaysia, Hishammuddin dan Rais sepatutnya seharusnya (dengan) serta-merta mengarahkan polis untuk menyiasat Utusan Malaysia serta blogger di bawah Akta Hasutan sejak dahulu lagi kerana Utusan Malaysia sudah berkali-kali menerbitkan laporan berita dan komentari yang menggugat keharmonian etnik dan agama di Malaysia,” kata beliau.

Semalam Rais berkata perkara itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan.

Rais berkata, penelitian perlu dibuat terlebih dahulu sama ada bahasa yang digunakan itu adalah bahasa yang memecahbelahkan masyarakat atau pun yang menyentuh soal hasutan.

Sementara itu, Hishammuddin pula menyifatkan penganjuran majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, jika benar, adalah sesuatu yang serius.

Katanya apa juga tindakan dari satu agama akan mengundang reaksi dari penganut agama lain.

Tambah Kok, langkah Utusan Malaysia menyiarkan laporan tersebut dilihat mahu menghasut rakyat terutamanya orang Melayu agar terus menyokong Umno.

“Saya percaya Umno menggunakan akhbar Utusan Malaysia sebagai senjata untuk menghasut orang Melayu demi mengukuhkan kedudukan Umno di mata orang Melayu.

“Perbuatan ini amat keji dan berbahaya kerana Malaysia merupakan negara majmuk,”
katanya sambil menambah, “saya menggesa Hishammuddin dan Rais agar menunjukkan keikhlasan mereka terhadap konsep 1 Malaysia dan mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap Utusan Malaysia.” -TMI

Siapa yang bermain api itu?

Utusan Malaysia.

Maka usah khuatir, dia sedang membakar dirinya sendiri.

Samalah untuk parti yang mendokongnya, UMNO, dan pemimpin mereka yang menjadi dalangnya.....

p/s dengar cerita ada rumah pemimpin UMNO terbakar hari ini... GB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .