Ikuti Blog ini

Ucapan penangguhan Presiden PAS menarik, meyakinkan


Muktamar PAS ke-57 telah melabuhkan tirainya dengan ucapan penangguhan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Rata-rata perwakilan Muktamar menyifatkan ucapan Tuan Guru Presiden sebaga satu ucapan yang menarik dan dapat mnyatukan sof dan merapatkan sof ahli dan penyokong, sekaligus meyakinkan jentera parti menhadapi pilihanraya umum ke-13 yang semakin hampir.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah mengucapkan sekalung tahniah kepada semua perwakilan, pemerhati, penyokong, media dan terutamanya para petugas yang telah bertungkus lumus menjayakan Muktamar terbabit.

Beliau yakin, dengan ucapan penutup Ustaz Hadi, akan memberikan kekuatan kepada para petugas PAS untuk turun ke gelanggang sebaik pulang ke kawasan masing-masing.

"Ucapan penutup oleh Tuan Guru Presiden PAS, ucapan yang sungguh menarik, melerai segala kekusutan dan kebimbangan.

"Doa yang cukup syahdu, khusyuk dan yakin menaikkan semangat para perwakilan dan pemerhati,"ujarnya.

Justeru belau mengajak seluruh pihak menyatukan sof dan rapatkan ukhuwwah bagi bersama-sama bekerja untuk Islam menghadapi musuh Umno dan Barisan Nasional.

Sementara itu, ketiga-tiga protal berita media baru, menyiarkan laporan yang hampir sama, mengulas ucapan penangguhan Presiden PAS tersebut.

*** Dengar ucapan di Buletinonline Radio


Ikuti catatan Harakahdaily, Malaysiakini dan Malaysia Insider seperti dibawah;

"Bukan Erdogan, ini Nik Aziz dan Hadi Awang"
Nazri Abdullah - Haralahdaily


KUALA LUMPUR : Biarpun PAS diserang hebat oleh media sebelum dan selepas keputusan pemilihan semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetap mengucapkan tahniah kepada perwakilan dan pemimpin yang telah dipilih.

Berucap ketika menyampaikan ucapan penangguhan hari akhir Muktamar PAS ke-57 hari ini, beliau bagaimanapun tidak menyalahkan petugas media yang mebuat liputan selama tiga hari itu.

"Ada (media) menyatakan pimpinan baru ini kumpulan Erdogan.

"Saya kata ini bukan Erdogan, ini (Tuan Guru Datuk) Nik Aziz dengan Hadi Awang, ini bukan AK parti, ini Parti Islam Se-Malaysia PAS,"katanya membidas laporan media yang membuat label tersebut.

Membuat bidasan lebih lanjut, beliau kemudiannya turut memperincikan kepelbagaian latar belakang individu di dalam saf kepimpinan baru PAS itu.

Katanya kepimpinan baru yang diterajuinya itu terdiri daripada lapan ulama, dua doktor, dua jurutera, satu peguam, enam bekas pensyarah dan dua aktivis masyarakat.

Komposisi itu katanya menunjukkan kabinet PAS mempunyai pemimpin rencam termasuk ulama.

Malah katanya perlembagaan PAS juga memperuntukkan enam AJK dilantik, empat anggota dewan harian dan semua pesuruhjaya negeri untuk bersama kabinet baru.

Tahaluf siasi dalam Pakatan berjaya

Dalam ucapan itu juga, Presiden PAS itu juga menyifatkan kerjasama politik dengan PKR dan DAP, berjaya.

Kejayaan itu katanya boleh dilihat kepada sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin meningkat akibat kefahaman mereka terhadap perjuangan keadilan Islam yang dibawa PAS.

"Persefahaman kita, mengekalkan jati diri kita sebagai orang Islam, memperkenal mesej Islam kepada bukan Islam tanpa paksaan.

"Berbeza dengan persefahaman wala' Umno BN yang menghilangkan jati diri, hilang hak dan hilang jati diri Islam itu sendiri," katanya menegaskan perbezaan.

Mengulas isu pembahagian kerusi antara Pakatan Rakyat untuk PRU ke-13 pula, beliau mengingatkan jentera di sesuatu kawasan memastikan kekuatan mereka dahulu sebelum berkira-kira mahu PAS bertanding.

"Kalau nak kerusi untuk bertanding, kawasan itu kena ada jentera, cawangan kena hidup dan kuat, (baru) kita boleh bertanding.

"Tapi tak kan semua kerusi kita nak tanding, itu bukan tahaluf,"katanya.

'Ini Hadi, bukan Erdogan'
Salhan K. Ahmad - Malaysiakini


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil peluang hari ini untuk menjelaskan barisan kepemimpinan barunya dan persediaan yang perlu diambil parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, ada pihak yang mendakwa bahawa parti itu kini telah diambil alih oleh golongan pemimpin Erdogan, namun dakwaan itu nyata meleset.

"Ini bukan Erdogan, ini parti PAS. Ini Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz," tegasnya dalam ucapan penangguhannya di muktamar ke-57 parti itu petang ini.

Abdul Hadi juga menjelaskan bahawa parti itu berbeza daripada Parti AK yang diketuai Recep Erdogan di Turki - pemimpin yang dikaitkan dengan barisan pemimpin profesional PAS.

"Ini Parti Islam Se-Malaysia. Ini bukan Turki, ini Malaysia. Turki haramkan parti Islam. AK bukan parti Islam, mereka isytihar parti mereka bukan parti Islam.

"Mereka ikut agenda barat seperti dilaporkan laman web RAND Corporation," kata Abdul Hadi lagi yang kelihatan bertenaga ketika menyampaikan ucapan tersebut.

Ulama masih main peranan

Secara berjenaka, beliau turut menyebut mengenai barisan pemimpin baru ini tetap mempunyai lapan orang yang berkelulusan agama, termasuk dua orang doktor, dua orang jurutera dan seorang peguam.

"Di samping yang dipilih ini, pelembagaan peruntukkan boleh lantik enam orang ahli jawatankuasa pusat, empat orang lagi anggota dewan harian dan 14 orang pesuruhjaya.

"Oleh itu walau pihak luar anggap (ulama) yang tak dipilih ini tercorot, mereka tetap main peranan dalam parti," katanya lagi yang berpendapat bahawa perwakilan telah membuat pemilihan dengan "sangat bijak."

Namun, di sebalik pujiannya kepada para perwakilan itu, Abdul Hadi turut menghantar mereka pulang dengan tugas berat untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

"Kalau undi pemimpin tapi balik tak buat kerja, ini tak bertanggungjawab. Cawangan kena bergerak... bilik gerakan perlu dibuka dari sekarang, culaan perlu dibuat.

"Ada tak tahu (ahli) berapa banyak (dalam kawasan). Kawasan baru macam Sabah kita maafkan sebab baru, tapi negeri lama (bagaimana).

"Ada yang kalau tanya, hanya tahu culaan 2008 saja, menunjukkan tak buat kerja," katanya lagi.

Presiden PAS: ‘Bukan Erdogan, tapi pasukan Nik Aziz-Hadi Awang’
Oleh G Manimaran - Mlaysian Insider


Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, barisan kepimpinan pusat PAS sesi 2011-2013, yang diumumkan semalam, bukan kumpulan Erdogan sebagaimana dilabel musuh-musuh politiknya ketika setiap kali diadakan pemilihan.

Sebaliknya Presiden PAS itu berkata, “ini adalah pasukan (Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) dan Abdul Hadi Awang.”

“PAS adalah parti Islam, parti AKP bukan parti Islam. Ini Malaysia, bukan Turki,” kata beliau yang dilihat merujuk kepada label-label bahawa PAS kini dikuasai oleh kumpulan profesional atau Erdogan ekoran keputusan pemilihan pusat parti yang berlangsung kelmarin.

“Ada macam-macam mengatakan tentang kepimpinan PAS yang baru, kali ini adalah kumpulan Erdogan. Saya katakan, ini bukan Erdogan tetapi pimpinan Nik Aziz dan Abdul Hadi Awang. Ini PAS, ini bukan Turki tetapi ini Malaysia. Turki haramkan parti Islam. Pemimpin mengisytiharkan mereka bukan parti Islam . . . mereka terpaksa terpaksa ikut cara pimpinan Barat,” kata beliau ketika berucapn menggulung perbahasan pada muktamar tahunan 2011.

Istilah Erdogan dikaitkan dengan parti politik dari Turki dan kepimpinan mereka.

Baru-baru ini, Nik Aziz yang merupakan Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan juga menafikan wujudnya kumpulan ulama dan profesional dalam parti itu.

Sebaliknya kata beliau, label itu sengaja diadakan oleh Umno-BN menjelang pemilihan parti.

Beberapa media melaporkan bahawa pemilihan kali ini menyaksikan kumpulan ulama disingkirkan dan PAS dikuasai oleh kumpulan profesional atau Erdogan.

Label itu jelas merujuk ke atas persaingan timbalan presiden di mana Mohamad Sabu menewaskan Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang kedua-duanya dianggap sebagai ulama.

Jawatan naib presiden dimenangi Salahuddin Ayub, Datuk Pasukan Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Dua pertiga daripada 18 ahli jawatankuasa kerja pusat dianggap sebagai kumpulan profesional berbanding sesi 2009-2011.

Merujuk perkara itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, “saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada perwakilan dan rakan-rakan yang terpilih walaupun media massa telah melaporkan macam-macam mengenai mereka.”

“Kenyataan yang tidak menyenangkan, kita maafkan sahaja kerana mereka tidak sedar kejahilan mereka,” katanya lagi.

“Wartawan hanya melaporkan yang benar, apa yang diucap dalam ucapan dasar tetapi disiarkan oleh mereka yang bukan berada di sini. Wartawan hanya dikongkong oleh peraturan yang sangat kuno dalam negara kita,” tambah Hadi.

Mengulas lanjut isu komposisi ulama dan profesional, Hadi berkata, “kalau dilihat, perwakilan telah melakukan pemilihan sangat bijak.”

“Saya telah membuat kiraan tetapi bukan kiraan undi pemilihan, tapi kiraan tentang mereka yang terpilih,” katanya.

Kata Hadi seramai lapan orang yang terpilih mempunyai latar belakang jurusan agama, dua doktor, dua jurutera, seorang peguam, enam bekas pensyarah dan dua aktivis masyarakat.

Katanya, perlembagaan parti membolehkan pelantikan seramai enam ahli jawatankuasa kerja pusat, empat anggota Dewan Harian dan 14 pesuruhjaya PAS negeri yang turut akan menghadiri mesyuarat ahli jawatankuasa kerja pusat.

“Walaupun pihak luar menganggap yang tidak dipilh sebagai tercorot tetapi bukan tercorot, mereka akan memainlan peranan dalam parti. Kalau dilihat nama-nama (ahli jawatankuasa kerja pusat), dua nama dianggap baru . . . Khalid Samad, Wahid Endut,” kata Hadi, merujuk kepada Ahli Parlimen Shah Alam dan Kuala Terengganu.

Hadi berkata, Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam kembali menduduki ahli jawatankuasa kerja pusat selepas hampir dua dekad tidak berpeluang dipilih.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .