Ikuti Blog ini

Saya terpegun melihat polis memukul Melayu - Daniel Low


Saya masih ingat, semasa zaman sekolah rendah, seorang budak Melayu yang gemuk dan comel menjadi sahabat baik saya. Bersama kami pergi dan balik dari sekolah, bersama kami bermain guli, buat bising, bersorak. Ada sekali dia memberitahu emak saya bahawa saya membeli makanan ringan secara senyap-senyap di sekolah, dan saya dimarah emak saya selepas itu. Saya sangat marah pada ketika itu, namun akhirnya saya berbaik-baik juga dengannya.

Namun, sepanjang saya membesar, saya disosialisasikan dalam masyarakat Cina di Malaysia. Ada perkara yang didedahkan kepada saya. Maka kasih dan sayang saya pada kaum Melayu berbaur dengan rasa benci. Benci dan ketakutan menyelubungi saya untuk 20 tahun. Dan pada 9 Julai 2011, kebencian dan syak wasangka saya terhadap orang Melayu yang terpendam dalam hati saya telah di-nyahkan!

Empat hari sebelum perhimpunan, saya mengambil keputusan untuk menyertai perhimpunan ini. Yang paling membimbangkan saya ialah keluarga dan teman wanita saya. Saya yakin mereka tidak akan bersetuju dengan saya. Untuk dua hari saya runsing hal ini. Akhirnya saya membuat cubaan berani untuk mengajak teman wanita saya pergi bersama. Saya memberitahu bahawa itu kekuatan yang diletakkan Tuhan dalam hati saya. Saya harus berbuat demikian. Anggaplah kami pergi dating sambil berarak. Saya telah bersedia untuk dihujani teguran atau nasihatnya.

Dia tanya kepada saya, betul nak pergi? Saya jawab, "Betul..." Dan dia bersetuju dengan saya! Pada saat-saat itu saya terperanjat, menatapnya dengan mata yang terbeliak. Kemudian ketakutan mula menular dalam hati saya. Kerana, betul kami nak pergi ni....

Kami adalah penganut kristian. Kami berdoa sebelum bertolak. Semestinya kami rasa gelisah dan takut. Pernahkah kami goyah? Ya, malah sepanjang perjalanan dari Rawang ke Kuala Lumpur dalam komuter, kami masih tertanya-tanya dalam perbualan kami, betulkah pilihan kami untuk menyertai perhimpunan ini? Bagaimana kalau kami ditangkap? Tapi rasa terharu dalam hati kita itu akhirnya mengatasi ketakutan yang menghalang kami untuk terus mara.

Wanita Melayu yang hamil

Ada satu adegan yang membuatkan kami amat terharu. Sepasang suami isteri Melayu muda memakai "baju kuning" bersama, dengan si isterinya yang sudah mengandung. Mereka menggalas misi yang cukup penting untuk ke dalam pusat bandar. Si suami menunggu di luar bilik air sementara isterinya di dalam. Saya nampak kegusarannya. Beliau memegang kedua-dua tangannya dengan rapat, mencangkung di situ. Sebaik sahaja isterinya keluar, beliau bangkit dan memegang tangan isterinya, dan sama-sama menaiki jejambat.

Di penghujung sana kelihatan sekumpulan anggota polis sedang menunggu. Kesudahannya diduga. Pasangan suami isteri tadi tidak diberi laluan. Walaupun saya nampak mereka agar terkilan, tetapi saya yakin mereka tidak pasrah begitu sahaja. Cuba fikirkan, apakah yang mendorong seorang isteri yang hamil untuk mengambil risiko bersama suaminya? Takkan mereka tidak sedar bahawa diri mereka mungkin ditangkap, dibelasah? Tapi siapa yang sedar, apa yang mereka terpaksa berkorban, untuk tujuan ini?

Kami pula diberi laluan, kerana berpakaian putih. Sepanjang jalan kami dapati banyak trak polis, tetapi tidak sempat untuk dikira berapa bilangannya. Ini gambaran yang hanya dapat ditonton dalam filem. Ramainya polis, tetapi saya langsung tidak merasakan diri saya selamat!

Jalan raya menjadi sunyi dan sepi. Kami seolah-olah sampai di kawasan bencana. Air muka manusia juga pelik. Semacam hari kiamat.

Kami melangkah dengan cepat, akhirnya sampai di kawasan berdekatan dengan Hospital Tung Shin. Tak sempat kami berkumpul dengan kelompok manusia di sana. Sebaris trak polis berhenti di situ. FRU berbaris membentuk tembok halangan, seolah-olah untuk melindungi kami. Tapi kami sedar apa tujuannya. Kami gagal melakukan apa-apa mendengar jeritan dari orang di sebelah sana.

Berkecai konsep "kerajaan tolong muslim sahaja"

Pada ketika ini, saya melepaskan tangan teman wanita saya. Saya melangkah ke depan. Kerana saya ternampak satu adegan, yang membuatkan saya malu dengan diri saya. Dengan mata sendiri saya menyaksikan bagaimana seorang muslim (beliau berkopiah) ditekan ke atas lantai. Beliau disiku bahagian belakang badannya, tanpa beliau membalas. (Bagaimana beliau boleh balas sedangkan beliau ditekan oleh beberapa orang polis?) Ya, beliau dipukul polis, bukan orang lain.

Hati saya sejuk tiba-tiba. Konsep bahawa "kerajaan asyik menolong muslim sahaja" telah berkecai! Semuanya berkecai. Saya terpegun di situ untuk agak lama.

Akhirnya kami mengambil keputusan untuk membelok ke Stadium Merdeka. Kami basah kuyup kerana hujan yang lebat. Hati saya juga berhujan. Saya tidak faham, mengapa satu perhimpunan yang aman dijadikan sebegini? Kami hanya mahukan satu sistem pilihan raya yang adil!

Akhirnya kami sampai di kawasan berdekatan dengan stadium merdeka. Di situ kami berjumpa dengan kawan-kawan kami dari gereja. Hati kami tenang, dengan semangat yang tinggi.

Saya memandang ke sisi saya. Ada ramai Melayu, India pun ada, malah lebih memeranjatkan, tidak kurang juga orang Cina! Saya terharu ketika kami menyanyi lagu Negaraku bersama. Ini kali pertama saya menyanyi dengan penuh perasaan, begitu terharu. Seterusnya, kami menuju ke Jalan Petaling sambil melaungkan slogan.

Setelah melalui Jalan Petaling, kami terpaksa berhenti, kerana gas pemedih mata dilepaskan di perhentian bas Klang. Kami rasa tersengit dengan gas itu, malah hampir lemas dibuatnya. Kami berundur dengan cepat, tetapi bukan lintang-pukang. Orang berkongsi garam dan air tanpa mengira kaum. Ini kerana garam dapat meredakan rasa sengit yang disebabkan gas pemedih mata.

Hampir setengah jam kemudian, kami menerima khabar bahawa ada kelompok manusia yang berhimpun di KLCC. Kami pun menuju ke sana. Jarak perjalanannya jauh. Kami yang keletihan masuk ke dalam kedai 7-11 untuk membeli air. Teman wanita saya kepenatan terus meniarap di meja. Dua orang "uncle Cina" yang turut serta dalam perhimpunan memberi galakan kepadanya, "Ini demi masa depan kita!"

Akhinya kami gagal sampai ke KLCC. Kedengaran polis sedang melakukan tangkapan. Kami mengambil keputusan untuk balik ke rumah pada kira-kira jam 5 petang. Kami tidak kesal menghadiri perhimpunan ini. Walaupun tubuh kita letih, tetapi hati kita tidak. Saya nak memberi pujian bahawa perhimpunan ini adalah perhimpunan yang berjaya!

709 adalah "milestone" kita bersama. Apa yang paling diingini saya sekarang adalah berkawan dengan lebih ramai sahabat dari kaum lain. Mereka sebenarnya baik! Saya menyeru agar kita tidak lagi menyerang kaum-kaum tertentu dengan hujah yang simplistik. Kita perlu berkawan dengan mereka, secara ikhlas. Jangan lagi kita asingkan diri sebagai orang Cina, Melayu, India dan sebagainya, yang ada orang Malaysia!

Saya yakin, mereka pun berkongsi pandangan yang sama. Ayuh orang muda, bangkitlah! Orang muda adalah tiang negara masa depan! Jangan kita meniru sikap penguasa yang buruk dan menyalahgunakan kuasa! http://merdekareview.com/bm/index.php
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .