
Harakahdaily 
KUALA  LUMPUR, 30 Sept: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang  mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS  berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang  tersebut.
Dalam  satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan  PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana  kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.
Menurutnya,  perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran  "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat  relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal  undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.
"PAS  melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya  akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.
Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:
1.    Parti Islam SeMalaysia  (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan  perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan  Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti  kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan  mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa  Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan  dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak  istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah  dijamin oleh Perlembagaan.
2.  PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan  menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah  dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar  Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan  Dokumen Buku Jingga.
3.  PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan  yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat,  dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap  mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti  atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.
4.  Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah  berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan  Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang  sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal  undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS  melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya  akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.
5.  Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993)  Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah  diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat  kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang  tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi  kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses  yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas  dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak  bagi mengamalkan ajaran mereka.  Sebarang usaha menghalang adalah  bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini  terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di  peringkat yang seterusnya.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011


