Ikuti Blog ini

Cincin Rosmah terus hangat selepas dipulangkan

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Isu cincin bernilai RM24 juta yang diposkan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dikatakan telah dipulangkan terus hangat diperkatakan.

Ini kerana, jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah mengesahkan cerita kewujudannya dan kini masing-masing tertanya 'apakah benar ia telah dipulangkan'.

Dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut), Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kastam Diraja Malaysia mengesahkan bahawa cincin itu telah dikembalikan beberapa hari kemudian kepada syarikat miliknya.

Kolumnis terkenal Harakahdaily yang juga bekas pemimpin PAS, Haji Subky Latif dalam kolumnya kali ini mengulas panjang mengenai isu ini dari segi lojiknya.

"Menteri Nazri dalam jawapannya kepada  soalan mengenainya di Parlimen memberitahu bahawa cincin itu telah dikembalikan kepada syarikat pemunyanya.

"Apabila ia telah dikembalikan kepada sipengirim, bererti pernah  dibawa masuk ke negara ini dan dihantar kepada Rosmah di alamatnya.

"Bagaimana ia dibawah masuk telah didedahkan oleh Cikgu Bard. Bagaimana ia dipulangkan tidak pula diketahui," tulis Subky dalam kolumnya di sini.
 Penafian

Sebelum ini, apabila ia didedahkan Cikgu Bard (gambar) atau nama penuhnya Badrul Hisham Shahrin, para blogger Umno menghentam balik beliau dan Rosmah pula menafikannya.

Ogos lalu, Perdana Menteri dalam temu bual dengan akhbar Kompas telah menafikan isterinya ada membeli cincin berlian yang nilainya berjuta-juta ringgit.

Akhbar Kompas telah memohon maaf kepada Najib atas laporannya, disiarkan pada 4 Ogos lalu, tetapi misteri kekal mengapa cincin dari Jacob & Co New York dialamatkan kepada Rosmah.

Persoalan timbul sama ada nama Rosmah telah digunakan dengan pengetahuan beliau ataupun sebaliknya oleh elemen-elemen jenayah.

Rosmah dalam satu kenyataan pada akhir Julai lalu telah menyifatkan tuduhan itu sebagai satu fitnah.

Dalam kenyataan pertama sejak isu pembelian cincin muncul, Rosmah menyifatkan dakwaan yang mengaitkannya sebagai satu fitnah dan beliau menegaskan tiada masa mahu melayan perkara itu.

Rosmah berkata, sebagai isteri Perdana Menteri beliau lebih senang memberi tumpuan terhadap perkara lebih berfaedah, terutama dalam hal dan agenda pembangunan rakyat daripada melayan isu tidak relevan.

“Tak ada apa yang saya nak cakap sebab saya tidak ada masa hendak layan perkara seumpama ini. Ikut sedap dia (pemblog) saja hendak cakap (tuduh),” kata beliau.

Gerakan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak penafian isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor sebelum ini bahawa beliau bukan pemilik sebentuk cincin berlian RM24 juta yang diimport dari Amerika Syarikat.

Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin berkata penafian Rosmah tidak boleh diterima kerana ia tidak menangani isu dokumen-dokumen Kastam bersabit cincin itu yang dikemukakan oleh SAMM kepada Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua minggu lalu.

Menurut Badrul, tabiat boros Rosmah akhirnya akan memberi kesan kepada pentadbiran negara yang berada di bawah naungan suaminya sendiri.

Beliau berkata ada bukti jelas dalam rekod kastam menunjukkan kemasukan sebentuk cincin berharga lebih RM24 juta pada 16 April lalu atas nama beliau sebagai penerima.

“Sikap boros dan sombong beliau yang kita lihat banyak sangat menghancurkan negara ini dan kerana itu Rosmah boleh cakap apa sahaja seperti juga Imelda Marcos yang langsung tidak mempedulikan protes dan suara rakyat. Dan akhirnya kehancuran Marcos penyumbang besarnya adalah Imelda,”katanya kepada Tv Selangor.

Badrul berkata, beliau tidak membuat sebarang tuduhan melulu ke atas Rosmah, namun ia bersandarkan kepada bukti yang dibekalkan kepada pihaknya.

“Mengenai cincin ini saya tidak melemparkan sebarang tuduhan cuma saya mengeluarkan pada peringkat awalnya pada 8 Julai beberapa dokumen yang membuktikan ada kemasukan sebentuk cincin belian berharga RM24.45 juta yang dalam nama penerima ada tertera nama Rosmah Bin Mansor.

“Jadi saya bangkitkan dan minta untuk Rosmah atau mana-mana pihak untuk menyatakan kebenaran,”katanya lagi. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .