
LAPORAN  Ketua Audit Negara 2010 yang gagal dikemukakan dalam Dewan Rakyat  bersekali dengan Laporan Ekonomi dan dokumentasi belanjawan negara  sejajar dengan amalan Parlimen Malaysia sekian lama, akhirnya diedarkan  sebagai Kertas Perintah 40, Tahun 2011 kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat  pada hari Isnin, 24 Oktober 2011. Pengedarannya lewat 17 hari dari  tarikh pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober 2011 yang lalu. 
Kegagalan  pengedarannya dibangkitkan berulang kali oleh Ahli-Ahli Parlimen  Pakatan Rakyat, meskipun sebenarnya Laporan Ketua Audit Negara Mengenai  Aktiviti Kementerian/Jabatan Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan  Persekutuan telah siap ditandatangani oleh Ketua Audit Negara Tan Sri  Haji Amrin Bin Bujang pada 8 Julai 2011 dan Laporan Ketua Audit Negara  Mengenai Pengurusan Kewangan Dan Aktiviti Serta Pengurusan Syarikat  Subsidiari Badan Berkanun Persekutuan ditandatangani pada 16 Jun 2011.  Sewajarnya tidak timbul masalah lewat mengedarkan laporan tersebut  kecuali lah ada muslihat untuk menyembunyikan fakta sebenar dari  pengetahuan rakyat.
Hasil  dari penelitian prestasi terhadap pelaksanaan aktiviti di bawah 32  Kementerian/Jabatan Persekutuan dan pengurusan 7 syarikat Kerajaan,  Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa dari segi pelaksanan  aktiviti/projek yang dijalankan terdapat beberapa kelemahan yang  berpunca daripada penyeliaan yang kurang rapi, ketiadaan pemantauan yang  berkesan, kekurangan peruntukan kewangan dan kekurangan kakitangan  serta kepakaran. Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan kelemahan,  kepincangan dan penyelewengan yang berlaku dalam 45 aktiviti/projek di  bawah pelbagai Kementerian/Jabatan Persekutuan.
Mengaibkan  adalah pendedahan terhadap kepincangan beberapa aktiviti/projek yang  mensasarkan golongan berpendapatan rendah dan rakyat termiskin. Antara  projek dan aktiviti tersebut adalah:
1.    Kelemahan pengurusan Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Unit  Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan  RM691.52 juta pada tahun 2010 dan didapati mengalami kegagalan 54.4%  daripada pencapaian objektifnya.
“Unit  Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) adalah  agensi penyelaras Program Pembasmian Kemiskinan di bawah RMKe-9.  Matlamat utama program ini adalah bagi mensifarkan miskin tegar pada  bulan Disember 2010 di seluruh negara. Pada tahun 2010, sejumlah  RM691.52 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan program ini. Pejabat  Pembangunan Persekutuan Negeri (PPPN) atau Jabatan Pembangunan  Persekutuan Negeri (JPPN) bertanggungjawab menyelaraskan pelaksanaan  projek di peringkat negeri. Pengauditan yang dijalankan antara bulan  September hingga Disember 2010 mendapati masih lagi terdapat seramai  2,472 orang miskin tegar di seluruh negara dan pelaksanaan projek  peningkatan ekonomi kurang memuaskan kerana 37 (54.4%) daripada 68  projek yang dilawati gagal mencapai objektifnya. Juga terdapat kelemahan  dalam pengurusan program seperti tempoh pelaksanaannya tidak mencukupi;  peserta tidak layah diberi bantuan; peserta tidak tahu terlibat dengan  projek; barang tidak diterima sepenuhnya dan tidak lengkap; bantuan  tidak diterima oleh peserta; projek tidak dilaksanakan oleh pembekal;  pembekal mengambil keuntungan daripada peserta; mentor tidak memainkan  peranannya; perjajian projek champion tidak lengkap; komitmen peserta  rendah dan kelemahan pemantauan.”  - Laporan Ketua Audit Negara 2010,  muka surat xvii.
2.   Kelemahan pengurusan Skim Insentif Peningkatan Hasil Padi di bawah  Kementerian Pertanian yang mendedahkan kegagalan Kerajaan Persekutuan  membayar insentif berjumlah RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah kerana  peruntukan tidak mencukupi.
“Insentif  Peningkatan Hasil Padi (IPH) adalah untuk memberi galakan kepada petani  untuk meningkatkan hasil padi semasa dan meningkatkan tahap sara diri.  Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 September 2006 telah bersetuju skim IPH  dilaksanakan dan pembayarannya dibuat mulai bulan Mac 2007. Sejak skim  ini dilaksanakan sehingga tahun 2010, sejumlah RM230.62 juta telah  dibelanjakan daripada peruntukan skim IPH dan sejumlah RM72 juta  daripada peruntukan Dasar Jaminan Bekalan Makanan. Pengauditan yang  dijalankan antara bulan Ogos hingga November 2010 mendapati objektif  skim IPH untuk meningkatkan pengeluaran padi telah dapat dicapai.  Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan IPH seperti  tiada perjanjian yang mengikut BERNAS yang dilantik sebagai agensi  pelaksana skim; peruntukan tidak mencukupi mengakibatkan Kerajaan belum  membayar insentif berjumlah RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah; kadar  insentif yang tidak munasabah bagi pesawah yang mengusahakan tanaman  lebih 2 hektar dan kelewatan BERNAS menyelesaikan siasatan terhadap kes  di mana peningkatan hasil padi melebihi 10% daripada anggaran hasil yang  ditetapkan.”  - Laporan Ketua Audit Negara 2010, muka surat xxii.
3.  Kelemahan pengurusan penyenggaraan jalan persekutuan yang diswastakan  di negeri Sarawak setelah sejumlah RM462.46 juta telah dibelanjakan.
Program  penswastaan penyenggaraan jalan persekutuan di negeri Sarawak  dilaksanakan oleh 3 syarikat konsesi iaitu PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd,  Endayan Construction Sdn Bhd dan HCW Engineering Sdn Bhd. Mengikut  perjanjian penswastaan, jalan persekutuan yang perlu disenggarakan  setakat 14 Julai 2003 ialah sepanjang 1,326 km dan telah meningkat  kepada 1,566 km setakat 31 Disember 2009. Pengauditan yang dijalankan  antara bulan Ogos hingga Disember 2010 mendapati secara umumnya keadaan  jalan persekutuan adalah kurang memuaskan walaupun sejumlah RM462.46 jua  telah dibelanjakan untuk penyenggaraannya bagi tempoh tahun 2005 hingga  2010. Selain itu, terdapat beberapa kelemahan seperti kerja penurapan  jalan tidak dibuat dan kerosakan pavement tidak dibaiki; jentera yang  digunakan untuk memampatkan kerja penurapan jalan tidak mengikut  spesifikasi serta penyenggaraan bahu/perabot.perparitan jalan tidak  memuaskan.”  - Laporan Ketua Audit Negara 2010, muka surat xxv.
4.  Kelemahan pengurusan projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ke 2 di  pelbagai kementerian dan jabatan yang terdedah kepada pelbagai bentuk  penyelewengan perbelanjaan, bayaran dan peruntukan.
“Laporan  Ketua Audit Negara turut menyentuh Pakej Ransangan Ekonomi Kedua (PRE  2) berjumlah RM60 bilion yang dilancarkan pada 10 Mac 2009 bertujuan  merangsangkan ekonomi negara dalam tempoh yang singkat. PRE 2 telah  dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh 2 tahun iaitu tahun 2009 dan  2010 dengan peruntukan berjumlah RM15 bilion. Sehingga 31 Disember 2010,  Kementerian Kewangan telah mengagihkan RM13.23 bilion kepada 27  Kementerian/Jabatan/Skim untuk melaksanakan 51,560 projek. Daripada  jumlah yang diagih, hanya RM10.09 bilion (76.3%) telah dibelanjakan  melibatkan 49,169 (95.4%) projek. Pengauditan yang dijalankan pada tahun  2010 terhadap 9 program di 6 Kementerian/Jabatan yang melibatkan 201  projek mendapati kesemuanya telah siap dilaksanakan dengan bayaran  berjumlah RM426.69 juta kecuali satu projek iaitu Pembinaan Jambatan  Sungai Padas Kedua, Beaufort, Sabah. Laporan Ketua Audit Negara  mendedahkan wujudnya beberapa kelemahan seperti prestasi perbelanjaan  yang tidak menunjukkan prestasi sebenar pelaksanaan projek;  perolehan/pembekalan peralatan/kerja/projek tidak mematui  peraturan/kurang berkualiti/tidak memuaskan/kurang jelas/tidak  tepat/tidak dipatuhi. Selain itu, terdapat kes di mana pembayaran dibuat  sebelum peralatan/kerja dibekalkan/disiapkan/disiapkan dengan sempurna;  berlaku lebihan bayaran dan peruntukan tidak digunakan untuk tujuan  asal projek.”  - Laporan Ketua Audit Negara 2010, muka surat xliii.
Sungguhpun  Dato’ Sri Najib mengumumkan pelbagai janji untuk menangani kepincangan  kelemahan dan ketirisan, namun ternyata janji-janji tersebut masih belum  terpenuhi. Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendedahkan dan menjadi  bukti kegagalan dasar transformasi yang dirangka Perdana Menteri.  Pakatan Rakyat tuntas menyatakan segala Perubahan dan setiap Reformasi  Sistem yang menyeluruh memerlukan iltizam politik yang jitu serta ikhlas  demi manfaat rakyat Malaysia. Tanpa iltizam serta kegigihan dan  tiadanya penyertaan rakyat untuk bersama-sama membangunkan negara ini,  segala kebijakan mahupun dasar yang dirangka pastinya menemui kegagalan.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
DEWAN RAKYAT MALAYSIA


