Ikuti Blog ini

Khairy kecam kelompok muncul di ambang p’raya


PETALING JAYA: Pemuda Umno hari ini memberi amaran keras bahawa pergerakan itu kesal dengan sikap sesetengah kelompok yang beria-ia menunjukkan muka di ambang pilihan raya.

Ketuanya Khairi Jamaluddin berkata, apabila harapan tidak kesampaian, sokongan serta sumbangan terhadap parti dibiar mati bersama angan-angan yang tak menjadi.

“Ini bukan bentuk mentaliti yang kita mahu.

“Kalau masih ada golongan sedemikian yang bukan sahaja terang-terang menyokong pembangkang tetapi juga memboikot secara senyap – yang langsung tak buat kerja, yang membawa diri merajuk sepi, yang menghilangkan diri, yang tak keluar mengundi – kita minta tindakan tegas terhadap mereka ini sebagai pembelot kepada parti,” katanya berucap di Perhimpunan Agung parti di PWTC hari ini.


Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, sungguhpun Pemuda menaruh harapan untuk diberi peluang tetapi yang paling penting adalah untuk memenangi pilihan raya umum (PRU13).

Katanya, walau apa jua pun keputusannya, Pemuda berikrar kepada Presiden akan setia menyokong mana-mana calon yang dipilih demi maqasid yang lebih besar yakni kemenangan Barisan Nasional.

Dalam ucapannya, Khairy juga menuduh pembangkang menjahanamkan sistem demokrasi; sistem pentadbiran; menjahanamkan maruah negara; menjahanamkan sejarah negara; menjahanamkan jati diri bangsa dan menjahanamkan kemakmuran ekonomi negara.

Jangan leka

Beliau juga mengingatkan Pemuda Umno jangan sekali-kali lalai, leka dan alpa.

“Jangan kita dibuai kegemilangan silam. Cabaran yang bakal kita hadapi pada PRU-13 ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah pilihan raya.

“Inilah masa dan ketikanya Pemuda Umno bangun untuk melakar kesinambungan perjuangan yang murni ini,” katanya.

Khairy menambah Pemuda yang ada pada hari ini, seperti mereka yang terdahulu, tidak mungkin lari dari medan perang.

Menurutnya, Pemuda tahu betapa pentingnya perjuangan ini demi masa hadapan anak bangsa.

“Saya yakin dan percaya setiap ahli Pemuda yang ada pada hari ini takkan gentar untuk menghadapi armada perang musuh dan berjuang bersama-sama pucuk pimpinan.

“Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Biar patah dahan berpaut, biar retak lantai berpijak, musuh datang pemuda tak takut, apa dugaan takkan berganjak,” tegas Khairy.

freemalaysiatoday
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .