Pas mengingatkan kerajaan sekiranya lapan tuntutan Bersih 2.0 tidak ditunaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), parti itu akan menyertai perhimpunan Bersih 3.0, yang dijangka diadakan Februari depan.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, sekiranya PRU13 diadakan menggunakan sistem sedia ada, pihaknya percaya agak sukar untuk Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya kerana sistem pilihan raya itu belum bersih dan telus.
“Jika tuntutan Bersih 2.0 belum ditunaikan, penganjurnya bercadang buat himpunan Bersih 3.0. Kali ini ahli Pas wajib hadir untuk tuntut pilihan raya yang bersih,” katanya, ketika berucap pada ceramah perdana ‘Parlimen akan dibubarkan’, di Markaz MTD Sri Burhan Tok Sibil, Jalan Datuk Kumbar, malam kelmarin.
Menurutnya, kerajaan sewajarnya mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di dunia Islam kebelakangan ini, yang menyaksikan kerajaan bertukar tangan melalui tunjuk perasaan hingga menyebabkan ramai rakyat terkorban.
“Kita hanya tuntut lapan perkara secara aman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) janji bersihkan daftar pemilih namun kita mahu lihat hasilnya sebelum PRU13,” katanya.
Mohamad turut meminta supaya tafsiran kehakiman dibuat terhadap Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan kerajaan, kerana didakwa bertentangan dengan perlembagaan.
“Kita sudah failkan kes ini dan peguam kita akan mohon supaya hakim dapat menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu. Rakyat tiada hak langsung untuk berhimpun kelak, sehingga Majlis Peguam yang arif dalam perundangan pun turut bantah,” katanya. -SH