Timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar A Samad yakin Menteri Besar Selangor membuat keputusan untuk mengambil alih portfolio hal ehwal Islam buat sementara waktu kerana untuk memberi masa kepada Dr Ahmad Yunus Hairi menyesuaikan diri sebagai exco.
"Potfolio tersebut membawa tanggungjawab yang berat dan memerlukan seorang exco yang dapat memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi," tulis Iskandar dalam laman facebooknya.
"Saya yakin menteri besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) akan menyerahkan potfolio tersebut kepada Dr Yunus pada masa yang sesuai," tegas beliau yang juga exco kerajaan negeri Selangor.
Iskandar juga yakin Dr Ahmad Yunus berupaya meneruskan perancangan dan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh Datuk Dr Hasan Ali.
"Saya berharap orang ramai akan memberhentikan sebarang spekulasi berhubung portfolio yang penting ini," tambahnya.
Dr Ahmad Yunus yang juga ADUN Sijangkang dilantik menjadi exco kerajaan negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Hasan yang digugurkan dari jawatan tersebut minggu lalu.
Dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan, Abdul Khalid mengumumkan bahawa Dr Ahmad Yunus akan bertanggungjawab terhadap portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan yang sebelum ini dipegangnya.
Manakala portfolio mengenai hal ehwal Islam, infrastruktur dan kemudahan awam akan disandang oleh Abdul Khalid.