Ikuti Blog ini

BM-Premium B IP BM-Premium C IP BM-Premium D IP Pemandu bas mogok bantah gaji Perbadanan KM


MELAKA, 2 Feb: Kira-kira 50 pemandu bas henti-henti di Melaka Sentral telah mengadakan satu mogok dan piket akibat tidak berpuas hati terhadap gaji baru yang ditawarkan oleh syarikat baru di bawah anak syarikat Perbadanan Ketua Menteri Melaka, Panorama Melaka Cultural Tourist Sdn Bhd (PMCT), pagi tadi.

Gaji baru yang ditawarkan oleh syarikat tersebut pada asalnya RM500 sebulan, dan semalam mereka mengadakan rundingan gaji tersebut telah dinaikkan sebanyak RM10 menjadikan gaji RM510 seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian.

Pemandu bas yang tidak berpuas hati telah mengadakan piket dengan membawa sepanduk yang tertulis "Kerajaan Kejam", "Gaji Pokok RM500 Mana Cukup, Negeri Maju, Rakyat Miskin", "PMCT Penindas Periuk Nasi Kami, Tak Kotai Janji" dan sebagainya.

Wakil pemandu bas Rosman Wahab, 49, menuntut gaji yang lebih munasabah iaitu RM850 ditambah dengan elaun rumah dan elaun kedatangan sebulan setaraf dengan kos hidup pada masa kini.

"Apa makna jika kerja berterusan sehingga nyawa pun nak habis dengan gaji sebanyak itu," katanya.

Beliau mendakwa jika bekerja lebih masa di bawah skim gaji yang baru itu dengan bekerja 12 jam sehari, mereka menjangkakan gaji yang akan diterima hanya boleh mencecah sebanyak RM1,300 hingga RM1,400.

Pemandu-pemandu bas terbabit telah mengadakan mogok selama tiga hari bermula 31 Januari lalu.

Melalui syarikat sebelum ini, pemandu bas yang bekerja hampir 20 tahun mampu memperolehi pendapatan yang mencecah sehingga RM1,900 hingga RM2,100 termasuk komisyen dan elaun.

Apabila syarikat baru mengambil alih, gaji mereka telah turun kepada RM510, jumlah yang tidak munasabah.

Harakahdaily difahamkan, syarikat PMCT Sdn. Bhd merupakan anak syarikat di bawah Perbadanan Ketua Menteri Melaka yang mengambil alih operasi bas henti-henti menggunakan jenama Panorama dengan bas yang disewa daripada syarikat Scomi Special Vehicle Sdn. Bhd. dengan kos antara RM10,000-RM13,000 sebulan.

Kerajaan negeri di bawah pemerintahan Datuk Seri Ali Rustam dilihat sekali lagi gagal dalam menguruskan masalah perkhidmatan awam sedangkan perkara itu merupakan perkara asas dan keperluan bagi rakyat Melaka untuk bergerak.

Justeru, apakah kerajaan negeri terlalu sibuk memikirkan soal pelancong dengan pelbagai projek pelancongan sehingga rakyat sendiri terus hidup susah dan terbeban. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .