Ikuti Blog ini

GEMPAR!: Pemimpin JI atau Kumpulan Mujahiddin Malaysia, Zulkifli Abdul Hir masih hidup

ZULKIFLI ABDUL HIR MASIH BERNAFAS!

Oleh : MUTALIB M.D

MENGEJUTKAN! Pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) atau Kumpulan Mujahiddin Malaysia, Zulkifli Abdul Hir yang didakwa terbunuh dalam serangan pihak berkuasa Filipina sebelum ini, sebenarnya masih bernafas dan dipercayai telah keluar daripada Filipina menuju ke destinasi yang tidak diketahui.

Koresponden Sabahkini.net, Pingganan Janjalani memberitahu usaha pihak berkuasa Filipina dan Malaysia mencari jenazah Zulkifli buntu kerana tidak ada sebarang kesan atau darah Zulkifli ditemui dan dipercayai terselamat dalam serangan berkenaan, sekalipun rumah penginapannya musnah terkena bom.

Sebelum ini pihak berkuasa Filipina mengesahkan selain Zulkifli, sejumlah 15 militan terbunuh dalam serangan itu, termasuk pemimpin Abu Sayyaf warga Filipina, Umbra Jumdail @ Dr Abu dan warga Singapura, Abdullah Ali alias Muawiyah.

Zulkifli dianggap pemimpin kanan dalam JI dan kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah menawarkan hadiah berjumlah AS$5 juta (RM15.5 juta) untuk membunuh atau menangkapnya, dan AS$50,000 (RM155,000) bagi penangkapan atau pembunuhan Abdullah.

Serangan awal pagi khamis yang dilancarkan pihak berkuasa Filipina di pekan Parang, Pulau Jolo yang menjadi kubu kuat Abu Sayyaf dan sekutu mereka daripada JI yang berpangkalan di Indonesia gagal membunuh Zulkifli yang dipercayai dapat menyusup keluar dari kepungan dan serangan tersebut bersama tiga pengikutnya; namun Dr Abu yang sebelum ini berjaya bolos dalam beberapa serangan, tewas.

Pada 2 Ogos 2007, Mahkamah di California, Amerika Syarikat telah mendakwa Zulkifli dan abangnya, Rahmat Abdul Hir, 43, warga Amerika yang ditangkap sehari sebelum hari beliau didakwa di mahkamah, di atas tuduhan-tuduhan berkaitan dengan keganasan.

Rahmat yang berada di Amerika Syarikat dituduh mengirimkan pelbagai peralatan seperti radio dua hala, magazin senjata Colt .45, teropong, teropong senjata, pakaian dan lain-lain kepada adiknya yang berada di selatan Filipina di antara Jun 2006 hingga Jun 2007.

Zulkifli, pakar penyamaran yang menggunakan pelbagai nama seperti Marwan, Zulkifli Abd Hir, Zulkifli Bin Abdul Hir, Hulagu, Holagu, Lagu, Musa Abdul Hir, Zulkifli Abdul Hir, Zulkifli bin Hir, Abdul Hir bin Zulkifli, Abduhir Bin Hir, Bin Abdul Hir Zulkifli, Zulkifli, Zulkifli Hir, Musa, Abdulhir Bin Hir, Ahmad Shobirin, Armand Escalante, Hassan, Hendri Lawi, Henri Lawi, Hogalu, Hugalu, Muslimin Abdulmotalib, Norhana Mohamad, Normina, Hashim, Omar Salem, Salim Alombra dan sebagainya menguasai pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Tagalog dan Arab; berjuang bersama kumpulan Abu Sayap sejak 2003.

Walaupun Ketua Gerak Khas Malaysia mengenai keganasan, Ayob Khan Mydin Pitchay mengalu-alukan berita kematian Zulkifli, namun bak kata pepatah berpantang maut sebelum ajal, Zulkifli tetap menjadi ancaman kepada keselamatan di Rantau Asia.

Dalam pada itu, Pingganan turut memaklumkan bahawa anak saudara GabenorTawi-Tawi yang tinggal di Kota Kinabalu, Datu Naufal telah berlepas ke Jolo untuk merundingkan pembebasan peniaga tokek, Nazarudin Saidin setelah pihak penculik bersetuju untuk berunding bagi membebaskan mangsa dengan bayaran T & T sejumlah Ph 3 Juta Pesos (RM212,971).

Percubaan koresponden Sabahkini.net untuk menghubungi Gabenor Tawi-Tawi dan Naufal untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal kerana dipercayai berada di kawasan pedalaman yang tidak mendapat liputan talian./sabahkini.net
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .