Pihak polis mengakui anggotanya yang terlibat dalam insiden membaling topi keledar ke jalan raya sehingga menyebabkannya penunggang motosikal terjatuh dan cedera serius di George Town telah melanggar prosedur operasi standard (SOP).
"Kita mendapat pengaduan bahwa ada kumpulan mat rempit yang mengganggu masyarakat. Jadi polis pun respons, dua orang (anggota) sahaja yang sampai.
"Jadi budak yang bertugas itu saja tidak mengikut SOP," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media di Bukit Aman semalam.
Beliau bagaimanapun berkata ia kes yang jarang berlaku dan polis menyedari perbuatan itu dan sudah membetulkannya.
Malah, katanya pendamaian dengan penduduk setempat sudah dibuat setelah mengadakan rundingan dengan mereka.
Seorang wanita Zaleha Mohd pada 16 Mac lalu memohon polis mempercepatkan siasatan terhadap anggotanya yang didakwa melempar topi keledar ke jalan raya sehingga menyebabkan cucunya jatuh daripada motosikal di Jalan Teluk Bahang pada 4 Mac lepas.
Cucunya Mohd Afiq Rozaimi, 18, antara 15 remaja yang menunggang motosikal secara berkumpulan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bahang apabila anggota polis berkenaan melempar topi keledar.
Ekoran kejadian itu, lebih 100 orang penduduk kampung melontar batu ke arah Balai Polis Teluk Bahang kerana berang dengan tindakan itu sehingga perjumpaan dengan penduduk terpaksa diadakan. Seorang anggota polis berpangkat lans koperal juga ditukarkan ke unit lain sementara menunggu siasatan. -M'kini