Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, berkata sebelum ini pengiraan undi di pusat terbabit yang kebanyakannya berada di pedalaman Sabah dan Sarawak boleh dilakukan sebaik proses pengundian selesai.
Langkah ini, tegasnya, bertujuan mengelak parti politik bertanding mengambil kesempatan dan menyebarkan maklumat belum disahkan menerusi laman sosial seperti Twitter dan Facebook sehingga menyebabkan timbul pelbagai kekeliruan.
"Secara moralnya, perbuatan itu salah. Dulu kita kira awal kerana tiada cabaran komunikasi canggih seperti sekarang dan mengandaikan parti politik bertanding bersikap lebih bertanggungjawab, jadi kita kira undi di pusat pengundian sebaik prosesnya selesai.
"Bagaimanapun, lain pula jadinya seperti pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu apabila ada yang menyebarkan maklumat lebih awal dan ia belum disahkan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat kepada pengurus dan penolong pegawai pengurus SPR di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah SPR Sabah, Datuk Mohd Idrus Ismail dan Ahli SPR, Datuk Jamdin Buyong.
Abd Aziz berkata, kemudahan komunikasi terkini yang membolehkan perkembangan terkini disalur dengan pantas adalah antara cabaran utama dihadapi SPR, terutama apabila timbul pertembungan dalam menentukan sama ada sesuatu maklumat itu betul atau sebaliknya.
Keadaan itu, tegasnya, mewujudkan perang saraf yang boleh mempengaruhi corak mengundi.
"Di pihak SPR, biarlah orang atau parti itu bertanding dulu dan jangan disebar berita yang belum tentu betul. Kadang-kadang ada yang sebarkan maklumat kononnya satu parti itu menang berdasarkan jumlah undi di pusat yang ditutup awal, jadi pengundi kawasan lain yang belum mengundi mungkin berpendapat ada baiknya mereka mengundi parti berlainan.
"Zaman sekarang orang guna Twitter, Facebook, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan gambar disebar menerusi telefon bimbit. Semua ini adalah cabaran besar buat SPR," katanya.