JK Fatwa disuap dengan maklumat Umno sahaja
KUALA LUMPUR, 7 Mei: Perbuatan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama mengharamkan perhimpunan yang menuntut pilihan raya bersih dan adil memalukan umat Islam, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
"Sangat memalukan umat Islam. Pertama, kerana apa yang didakwa fatwa itu dibuat ketika siasatan yang adil dan tidak memihak belum pun dibuat untuk menentukan siapakah yang mencetuskan kerusuhan, keganasan, huru-hara dan kekacauan.
"Adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mahu menconteng arang ke muka umat Islam dengan perbuatannya menghukum tanpa siasat?" katanya.
Mohamad berkata, dari apa yang diberitahu kepadanya, sesuatu fatwa itu dibuat setelah kajian dan siasatan yang menyeluruh dan adil dibuat.
"Sebab itulah saya kata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa memalukan umat Islam sebab belum siasat lagi sudah jatuhkan hukum," tegas beliau.
Beliau bimbang perbuatan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa menjatuhkan hukuman tanpa siasat itu akan mengakibatkan orang Islam dituduh sebagai agama yang tidak mementingkan siasatan yang adil dan menyeluruh sebelum membuat sesuatu keputusan dan hukuman.
"Jika selepas ini Islam dituduh sebagai agama yang menghukum secara semberono tanpa siasatan yang adil dan menyeluruh, Muzakarah Jawatankuasa Fatwalah pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan pandangan buruk sedemikian terhadap Islam," tegas beliau.
Mohamad juga menyifatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa itu berlagak lebih dari Tuhan kerana "Allah pun membicarakan hamba-hamba-Nya di Hari Hisab lengkap dengan saksi dan bukti sebelum menjatuhkan hukuman".
Beliau meminta Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mengemukakan nas dan dalil yang mengharamkan perhimpunan aman rakyat menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.
"Saya tegaskan lagi dan lagi, perhimpunan aman.
"Soalnya, adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa hidup seperti katak di bawah tempurung sehingga tidak tahu dan tidak mempunyai sebarang maklumat bahawa perhimpunan itu adalah perhimpunan aman, tidak ada harta benda awam atau persendirian yang dirosakkan sehinggalah rakyat yang berhimpun itu diserang dan diganasi.
"Satu dunia ada maklumat yang tepat, adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa tidak ada maklumat dan hanya mahu disuap dengan maklumat Umno sahaja?" beliau mempersoalkan.
Beliau juga mempersoalkan, di manakah suara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa terhadap pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih?
"Mengapa membatu dan membisu terhadap daftar pemilih yang tidak bersih? Mengapa tidak ada suara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa terhadap pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih?
"Adakah pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih itu tidak haram, tidak mengakibatkan kemudaratan, keresahan, rusuhan, perpecahan malah pertumpahan darah?" Mohamad mempersoalkan lagi.
Beliau terus mempersoalkan, adakah menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tidak baik dan tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat?
Mohamad tidak menolak kemungkinan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa akan menghadapi masalah imej seperti yang dihadapi oleh pihak polis serta kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN). -HD
Adakah Majlis Fatwa tahu apa itu Bersih 3.0?
KUALA LUMPUR, 8 Mei: “Macam mana satu fatwa dikeluarkan tanpa mengetahui tasawwur (gambaran) sebenar mengenai hukum yang hendak diputuskan?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana suatu fatwa boleh dikeluarkan jika suatu isu tidak dilihat secara menyeluruh.
Misalnya, kata beliau kalau yang bertanya itu apa hukum minum ‘tuak’ oleh orang Kelantan kepada ustaz daripada Selangor.
“Maka sudah tentu ustaz itu akan menjawab haram. Tetapi jika diberi penjelasan bahawa tuak dibuat daripada pokok nipah, jikalau di sebelah utara menyebut nira, maka sudah tentulah hukumnya halal.
“Kerana apa ustaz dari Selangor itu menjawab haram, kerana istilah tuak ialah benda yang memabukkan, tetapi setelah mendapat penjelasan, maka hukum itu berubah,” ujarnya kepada Harakahdaily sebagai respons kepada kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai Bersih 3.0.
Menurutnya, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mendapat maklumat di sebelah pihak sahaja yang sepatutnya perlu bertanya dan bincang dahulu apa itu Bersih 3.0.
“Jangan mereka hanya faham ‘Bersih’ itu hanya air mutlak dalam bab feqah sahaja iaitu air yang suci, lagi menyucikan,” katanya lagi.
Justeru, ujarnya amat malang rakyat Malaysia apabila kewibawaan Majlis Fatwa yang sepatutnya mempertahankan kredibiliti mereka yang dianggotai oleh 14 mufti dan ulamak di negara ini telah mengeluarkan hukum tanpa mendapat penjelasan daripada pihak kedua.
“Apakah ini disiplin Majlis Fatwa Kebangsaan?” tanya beliau.
Beliau menambah, amat malang sekali fatwa yang dikeluarkan hanya kes yang terpilih.
“Kenapa Majlis Fatwa tidak bincang apa hukum pilihanraya tipu?
“Apakah hukum kerajaan yang membazir wang rakyat?” soalnya.
Beliau juga bertanya apakah hukum demonstrasi yang dibuat oleh penyokong Umno di negeri Pakatan Rakyat seperti demo kepala lembu di Selangor sehingga boleh mencetuskan pergaduhan kaum dan agama.
Baginya, sudah cukuplah banyak institusi kerajaan yang dipertikaikan kewibawaannya seperti badan kehakiman, SPR, PDRM dan SPRM.
“Jangan pula rakyat memandang rendah kepada kewibawaan Majlis Fatwa yang hanya sanggup menjadi alat dan membincang perkara yang menguntungkan pemerintah walaupun tanpa merujuk kepada pihak kedua untuk mendapat penjelasan supaya berlaku adil,” katanya lagi. -HD
Majlis Fatwa Kebangsaan perlu menanggung akibatnya sendiri dan bertanggungungjawab apabila sebilangan besar umat Islam tidak lagi menghormati institusi tersebut kerana telah secara terang-terangan menjadi lidah UMNO.
Salah sendiri. -GB