Ikuti Blog ini

“Kita sedang menuju kemenangan,”kata Setiausaha Agung PAS


SETIU - Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali berkata senario politik hari ini menunjukkan PAS dan Pakatan Rakyat sedang menuju kemenangan sama ada di peringkat negeri mahu pun kerajaan pusat

Oleh itu, beliau menggesa semua ahli dan penyokong PAS diingatkan agar bekerja kuat bagi memastikan rakyat dan pengundi menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan dating.

Menurutnya, kemenangan PAS bukan hanya bergantung kepada calon tetapi lebih kepada sokongan rakyat sebagai pengundi.

“Kita (PAS) sedang menuju kepada kemenangan kita, Insya’Allah. Kemenangan sama ada di peringkat pusat (Putrajaya) atau di peringkat negeri Terengganu.

“Oleh itu, kita (PAS) kena bekerja kuat, bekerja keras sebab apa pun yang menentu kemenangan dengan izin Allah, rakyat yang mengundi itulah menentukan kemenangan.

“Kita (PAS) menang atau kita kalah bergantung kepada sokongan dari pengundi. Walau pun, kita letak calon bertanding sebaik mana sekali pun jika rakyat tidak undi kita tidak akan menang pilihan raya ini.

“Jadi bukan bergantung kepada calon semata-mata untuk beri kemenangan tetapi kekuatan penyokong dan rakyat yang mengundi itu yang akan memberi kemenangan kepada kita (PAS),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu Kali Ke-34, di Kompleks Tarbiyyah Lukmanul Hakim, PAS Kawasan Setiu, di Kampung Guntong Luar, Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu, 5 Mei lalu.

Dato’ Mustafa yang juga bekas Exco Kerajaan PAS Terengganu berkata pemimpin Umno menyifatkan pilihan raya (PRU) kali ini menentukan ‘survival’ kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Umno-BN beranggapan bahawa PRU13 sebagai ‘ibu segala peperangan’ dalam pilihan raya yang pernah diadakan selama ini.

Maknanya, kata beliau, Umno dan kerajaan BN akan berhadapan dengan pilihan raya paling sengit dan paling teruk bagi mengekalkan kuasa tersebut.

“Pilihan Raya Umum kali ini yang paling sengit dan paling teruk bakal dihadapinya. Dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu dikatakan pilihan raya kali ini akan menentukan ‘survival’ Umno dan Barisan Nasional (BN). Survival hidup-mati Umno-BN.

“Umno-BN bila kalah memang tidak akan hidup lagi sebab tidak ada duit lagi. Sebab dengan ‘kuasa’ itu digunakan untuk cari duit. Bila tidak ada kuasa tidak ada duitlah jawabnya.

“Mereka (Pemimpin Umno) anggap pilihan raya kali ini juga sebagai ‘ibu segala peperangan’ melalui pilihan raya yang pernah dihadapinya (BN),” tegasnya.

Justeru, kata Dato’ Mustafa, PAS dan Pakatan Rakyat boleh menang pilihan raya meski pun berhadapan dengan demokrasi yang tempang di negara ini.

Menurutnya, Umno-BN pula akan melakukan apa sahaja jenis penipuan bagi memastikan kekal berkuasa serta dapat memenangi pilihan raya tersebut.

Beliau mendakwa pemimpin Umno-BN akan menggunakan undang-undang juga bagi melakukan penipuan dalam pilihan raya berkenaan.

“Di Malaysia ini, kita (PAS) boleh menang melalui sistem demokrasi walau pun demokrasi itu masih tempang di Malaysia ini. Tapi kita mampu untuk mencapai kemenangan itu.

“Umno akan buat apa sahaja untuk mencapai kemenangannya (BN) termasuk menggunakan penipuan. Mereka (BN) guna undang-undang juga untuk tipu ini antaranya mereka guna daftar pemilih,” ujarnya.

Katanya, kerajaan PAS Terengganu tumbang pada pilihan raya tahun 2004 adalah hasil dari manipulasi daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Strategi inilah, kata Dato’ Mustafa yang sedang digunapakai modul bagi Umno-BN merampas kembali Selangor pada pilihan raya akan datang.

“Kita (PAS) telah mengalami tahun 2004 tapi baru sekarang ini orang sedar bahawa apa yang dilakukan di Terengganu tahun 2004, sedang digunakan di Selangor pada waktu ini.

“Dia (BN) mendaftarkan ramai-ramai pengundi dalam kawasan yang dia hendak capai kemenangan dengan memasukkan orang yang bukan duduk (menetap) di situ hingga menenggelamkan pengundi asal di kawasan berkenaan.

“Dimasukkan (daftar) pengundi dari Sabah, pendatang asing di Selangor. Ini kerana, Selangor menjadi tumpuan BN yang utama pada waktu ini. Sebagaimana tahun 2004, Terengganu menjadi tumpuan untuk dimenangi oleh BN kerana ada minyak (petroleum),” dakwanya.

Sepatutnya, kata beliau pada tahun 2004 pertambahan pengundi sekitar 20,000 orang sahaja bagi negeri Terengganu tetapi telah bertambah sebanyak 90,000 orang pengundi baru.

Menurutnya, kemerosotan undi PAS pada tahun 2004 sekitar 10,000 orang sahaja berbanding tahun 1999 yang tidak memungkinkan kerajaan PAS boleh tumbang.

Tambahnya, PAS hanya menyedari strategi penipuan BN tersebut selepas pilihan raya tahun 2004 hingga menyebabkan kehilangan negeri ini. -BO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .