Malah, tidak mustahil sekiranya perhimpunan "senaman punggung" di hadapan kediaman Ambiga pagi ini akan turut diadakan di hadapan kediamannya selepas ini, katanya.
"Saya fikir timbalan IGP ada sebut tak salah berdemonstrasi di depan rumah Ambiga. Barangkali ia agak menggalakkan (demonstrasi dibuat)," katanya ketika ditemui Malaysiakini hari ini.
Mengulas lanjut kenyataan itu, Samad berkata: "Itu biasalah undang-undang ditafsir oleh orang yang berkuasa. Bukan ditafsir orang yang tak berkuasa."
Katanya lagi, PVTM mempunyai pilihan untuk mengadakan gimik lain tetapi tetap bertindak biadap dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah kediaman Ambiga.
"Ada cara lain tapi dia memang nak memilih (biadap). Dia sengaja. dia memang nak berbiadap," katanya lagi.
Samad bagaimanapun berpendapat, siri demonstrasi di rumah Ambiga tidak akan menjejaskan momentum BERSIH untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil.
"Saya tak rasa begitu. Itu sebenarnya intimidasi dan untuk menakut-nakutkan... Tidak mustahil ia akan dibuat di hadapan rumah saya nanti," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak melarang sekiranya demonstrasi "menonggeng punggung" seperti itu diadakan di hadapan kediamannya.
Namun golongan berkenaan akan berdepan dengan reaksi daripada rakyat sekiranya mereka benar-benar berbuat demikian.
"Reaksinya bukan dari saya (tapi) reaksi dari umum. Buatlah," katanya lagi.
Samad mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar (kiri) yang berkata polis tidak akan mengambil tindakan ke atas kumpulan peniaga yang mengadakan demonstrasi pertama di hadapan kediaman Ambiga pada 10 Mei lalu.
Khalid memberi alasan, peniaga berkenaan boleh berhimpun dan berniaga di lokasi tersebut memandangkan tindakan itu dibuat di kawasan awam dan tidak mengganggu ketenteraman. -M'kini