Ikuti Blog ini

Presiden PAS ketuai Himpunan Oren 14 Julai ini


KUALA LUMPUR: Himpunan Oren Selamatkan Felda pada 14 Julai ini dijangka akan disertai 20,000 orang dan akan diketuai sendiri oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang akan berarak dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Istana Negara.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata himpunan raksasa melibatkan warga Felda serta NGO lain itu sebagai kemuncak kepada tuntutan agar kerajaan membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.

“Pihak kami juga sedang mempertimbangkan kemungkinan menghalang penyenaraian FGVH di Mahkamah kerana bagi Anak, apa sahaja akan dilakukan demi untuk menyelamatkan Felda dan kepentingan warganya daripada golongan pengkhianat yang berselindung di sebalik nama transformasi.

“Kami sedar ujian dan cabaran cukup hebat menanti, namun kepada Allah kami memohon pertolongan,” tegasnya.

Jelasnya lanjut, perhimpunan di luar masjid di Jalan Duta itu akan turut disertai lain-lain NGO iaitu Bersih, PPSMI, GMI dan lain-lain akan mula berarak pada jam dua petang.

Berdasarkan pengumuman Najib sebelum ini, FGVH akan mula menyenaraikan saham pada 25 Jun ini.

Mengulas perkembangan lain, Mazlan berkata kemenangan terbaru keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menggantung keahlian Tan Sri Isa Samad dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF) sekali gus menggagalkan usaha Isa menjadi Pengerusi KPF, sangat menggembirakan Anak.

Jelasnya lagi, tindakan mahkamah selanjutnya ialah 100 orang lagi peneroka akan memfailkan pembatalan Borang Pinjaman Saham.

Mazlan berkata, ia akan diikuti saman malu ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghina peneroka dengan ungkapan ‘haram jadah’ berjumlah RM80 juta akan difailkan tak lama lagi.

“Pendek kata, perisythiharan 'perang' yang saya umum sebelum ini bukan olok-olok dan yang kami tentang bukan calang-calang iaitu daripada Isa Samad, Ahmad Maslan hinggalah kepada Najib sendiri,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Mazlan, road show sedang bergerak merata Felda oleh penceramah-penceramah Anak bersama pimpinan Pakatan Rakyat dan NGO lain sedang rancak berceramah, berdialog selain daripada edaran risalah dan VCD telah beredar.

Beliau berkata, Anak berkeyakinan penyenaraian FGVH akan gagal dan Mesyuarat Agung KPF hari ini di Dewan Perdana Felda bukti jelas Isa Samad tersungkur.

Sementara itu media melaporkan, mesyuarat agung ke-31 koperasi itu di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pagi tadi tidak meneruskan pelantikan Isa sebagai anggota lembaga pengarahnya.

Keputusan tersebut diambil berikutan keahlian Isa yang dibekukan sementara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam selepas Hakim Abang Iskandar Abang Hashim mendapati terdapat merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dalam KPF. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .