(Anwar dan Wan Azizah melihat bas yang disimbah cat dan dibaling batu)
KOTA BHARU: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan meneruskan program Jelajah Merdeka walaupun bas yang dinaikinya telah diserang manakala Menteri Besar Kelantan kesal ianya berlaku di negeri itu.
Ketika memberitahu Harakahdaily, beliau berkata peringkat permulaan laporan polis dibuat, kemudian program jelajah itu akan diteruskan mengikut jadual.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu meninjau bas yang dinaikinya yang telah disimbah cat dan dilontar dengan benda keras pagi tadi.
Bas berkenaan masih berada di bandar Kota Bharu, berhampiran Masjid Al-Baroah dan Pasar Siti Khadijah.
Beliau memberitahu lagi, perkara itu telah menjadi biasa baginya memandangkan pernah diserang sebelum ini dengan kereta yang dinaiki.
“Saya dah biasa kena serang sebelum ni dibaling batu.
“Saya tidak akan patah semangat dengan kejadian ini dan program jelajah merdeka ini akan diteruskan selepas ni ke Grik, Perak pulak,”ujarnya.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika meninjau perkembangan bas melahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu.
Tuan Guru pula berkata kejadian itu berlaku berpunca dari manusia yang hilang fikiran sehingga ‘memuja’ nafsu.
Menurutnya, nafsu pada manusia ini ada dua, ada buruk dan taqwa.
“Tetapi bila manusia memilih ajaran secular berbanding Islam, perkara sedemikian pasti akan berlaku.
“Bagaimanapun, pejuang ulama terutama para Nabi telah mendahului kita menerima ujian ini,”ujarnya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan perasaan ‘malu’ dan kecewa memandangkan perkara itu berlaku di Kelantan.
Tambahnya, sedangkan pertelingkahan antara PAS dan Umno telah lama reda berikutan kedua pihak tidak menghianati antara satu sama lain.
“Tiba-tiba perkara ini berlaku di Kelantan, tapi saya tahun ianya datang dari luar,”ujarnya. -Hrkh