Ikuti Blog ini

Keganasan Terhadap Pakatan Rakyat “Dihalalkan”, Hina Umno-BN “Diharamkan”


Keganasan samseng Umno-BN terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang dibiarkan oleh agensi penguatkuasa bukti jelas undang-undang negara ini tidak lagi dihormati.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada tindakan yang diambil terhadap samseng Umno-BN walaupun terdapat bukti gambar dan video yang jelas tentang tindak-tanduk mereka.

“Kita boleh tengok gangster Umno pecahkan kereta, ‘kencing’ gambar (Menteri Besar Kelantan Datuk) Nik Aziz (Nik Mat), baling batu kepada bas, terang-terang ada bukti video dan gambar, tetapi ada satu tindakan diambil kepada mereka? … Tiada” katanya.

Dakwanya, undang-undang di bawah Kerajaan Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak bersifat berat sebelah kerana membela tindakan yang secara jelas melanggar undang-undang.

Akan tetapi, mereka yang didakwa menghina pemimpin Umno-BN ditahan dan dihukum seperti pemuda yang memijak gambar Najib dalam satu himpunan pada 30 Ogos.

“Bila pijak gambar Najib, ini merupakan dosa besar. Tetapi bila baling kasut di masjid, tiada salah, ini merupakan ‘law of the jungle’,” ujar Anwar.

Terbaru, jelajah bas Merdeka Rakyat yang dinaiki Anwar dan pimpinan PKR ke Jasin, Melaka dibaling batu dan disimbah cat merah oleh sekumpulan samseng yang didakwa didalangi Pemuda Umno kawasan tersebut.

Sebelum itu, seorang seorang lelaki yang dipercayai dari pertubuhan extremis Melayu Perkasa, cuba menghampiri Anwar semasa beliau berada di dalam satu majlis di sebuah masjid di Alor Star, Kedah.

Malah, gambar muka samseng daripada kedua-dua insiden tersebut
telah dimuatnaik ke laman sosial Facebook namun tiada tindakan diambil walaupun laporan polis telah dibuat.

Kejadian di Melaka merupakan kedua selepas minggu lalu bas tersebut dibaling batu di bahagian cermin hadapan serta disimbah cat merah di Kota Bharu, Kelantan.

Selain itu, Anwar turut menempelak media tradisional seperti surat khabar dan televisyen yang berat sebelah dan secara berterusan menyebarkan fitnah untuk memburukkan pimpinan PR.

“Mereka mensensasikan pegawai peribadi saya membawa pistol tetapi saya dibaling batu dan keganasan gangster-gangster Umno ini tidak disiarkan,” tegasnya.

Ketika mengulas perkara itu, Anwar berkata, pegawai peribadinya mempunyai lesen senjata api dan bertindak mengikut prosedur yang dibenarkan (SOP) bagi mengawal keadaan tegang ketika kejadian di Jasin semalam.

“Saya pergi kemana-mana ada samseng Umno, bila diancam dengan tindakan ganas mereka, pegawai saya keluarkan pistol tetapi mengikut SOP,” katanya. -selangorku


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .