Ikuti Blog ini

ISU NASHA : TIADA SEBARANG MASALAH


Ramai pihak menjangkakan bahawa PAS akan mengambil tindakan keras terhadap bekas Timbalan Presidennya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang membuat kenyataan terbuka meminta PAS mengkaji semula hubungannya dengan DAP.

Namun semua telahan dan ramalan penganalisis politik meleset di mana bukan sahaja Nasharuddin tidak diambil tindakan malah isunya langsung tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS malam tadi.

Ramai berpendapat Nasharuddin akan dipecat atau sekurang-kurangnya diberi amaran keras kerana sikapnya yang akhir-akhir ini dilihat tidak selari dengan pendirian parti. Namun itu uniknya PAS yang sentiasa mengambilkira pandangan yang berbeza, asalkan ianya tidak menjejaskan keutuhan dan perpaduan parti dan yang lebih penting tindakan itu tidak berlawanan dengan syariat Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika ditanya wartawan sebaik keluar dari dewan mesyuarat menyatakan bahawa mesyuarat itu hanya memberi fokus kepada perkara-perkara yang berkait pilihan raya khususnya senarai calon yang akan bertanding.

 Berhubung kedudukan Nasharudin katanya, tiada sebarang masalah yang timbul dan tiada keperluan bagi majlis syura membincangkannya.

"Mesyuarat tak bincang isu Ustaz Nasharudin dan dia pun ada dalam mesyuarat tadi.

"Tidak berbangkit untuk bincang isu Ustaz Nasha kerana tiada masalah yang timbul. Siapa kata ada masalah?" Kata beliau selepas selesai mesyuarat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, malam tadi.

Dengan perkembangan ini diharapkan semua pihak tidak lagi membangkitkan isu ini kerana ianya sudah tentu memberikan peluru kepada musuh jika ianya terus menjadi polemik yang tidak berkesudahan.

Ustaz Nasharuddin juga dilaporkan hadir pada mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS malam tadi yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Beliau adalah ahli Majlis Syura Ulama sejak sekian lama.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .