Tindakan
segelintir pihak memijak gambar (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor) disifatkan Menteri Dalam
Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai tindakan melampau
bagi menyemai bibit kebencian terhadap pemimpin negara.
Sehubungan itu, beliau berkata polis akan menyiasat perkara itu dan
seterusnya menyerahkan kepada pihak pendakwaan dan Peguam Negara untuk
tindakan lanjut.
“Politik kebencian itu satu perkara yang cukup merbahaya dalam
masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama,” kata Hishammuddin, yang
juga Naib Presiden Umno, kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan
Perwakilan Umno Bahagian Pengkalan Chepa di sini, Sabtu.
Hishammuddin berkata perkara seumpama itu perlu ditangani dengan bijak dan cepat supaya ia tidak dieksploitasi pihak tertentu.
Selain memijak gambar pemimpin pada Himpunan Janji Bersih di Dataran
Merdeka ketika sambutan ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-55,
ada peserta membawa ‘bendera baharu’ yang disifatkan ramai pihak sebagai
tidak menghormati kedaulatan negara.
Hishammuddin berkata apa yang dilakukan pihak berkenaan juga dibimbangi
boleh menjurus kepada keadaan negara menjadi huru-hara, dan menegaskan
kerajaan tidak akan berkompromi mengenai soal keselamatan negara.
Berita ihsan UTUSAN, gambar sekadar hiasan dari sekitar Internet.
-Pejabat YB Khalid Samad-