SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS)
menasihatkan pemimpin Umno agar tidak bermuka-muka kononnya membela
Raja-raja Melayu apabila memainkan isu jemputan sambutan Merdeka
terhadap Sultan Selangor.
Timbalan Ketuanya, Mohd Sany Hamzan
berkata, Rakyat sudah muak dengan sifat bermuka-muka dan putar belit
pemimpin-pemimpin Umno dalam perkara itu dan bukti penghinaan Umno
terhadap raja-raja Melayu terlalu banyak.
"DPPNS
turut berasa kesal dengan politik sempit yang cuba dimainkan oleh Umno
yang berlagak seumpama wira untuk mempertahankan institusi diraja
sedangkan pemimpin-pemimpin Umnolah yang mempunyai sejarah hitam sebagai
pengkhianat dan penderhaka kepada institusi beraja di dalam negara ini
dan mereka selama ini tidak pernah barang sekali berasa sesal dan
memohon maaf di atas tindakan mereka.
"DPPNS meminta supaya
pemimpin–pemimpin Umno Selangor tidak perlulah cuba membodek dan
menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk
menyelamatkan kuasa politik Umno Selangor yang sudah semakin tenat,"
katanya.
Mengulas isu jemputan sambutan ambang Merdeka terhadap
Sultan Selangor, Mohd Sany berkata isu tersebut sengaja dimainkan pihak
tertentu untuk cuba untuk mengeruhkan hubungan yang terjalin baik di
antara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Menteri
Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Katanya, isu tersebut belum
diketahui asal-usul punca kesilapan tetapi telah digembar-gemburkan
sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja.
"DPPNS bersetuju
bahawa orang yang paling layak untuk menjelaskan kekeliruan ini adalah
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi selaku
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan peringkat
negeri," katanya.
Akhbar Umno, Utusan Malaysia Sabtu lalu
melaporkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menuduh
kerajaan Selangor tidak menghormati institusi diraja dengan
mengenepikan Sultan Selangor, dalam majlis Ambang Merdeka yang diadakan
di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu.
Semalam Setiausaha kepada
Menteri Besar, Faekah Husin memberitahu Mohamad Khusrin telah
mengesahkan bahawa Sultan Selangor tidak pernah dijemput untuk malam
ambang kemerdekaan kerana Baginda akan hadir pada program rasmi pada
sebelah pagi 31 Ogos iaitu Majlis Tahlil dan Doa Selamat di Masjid
Negeri.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula
mempersoal, jika kerajaan Selangor dituduh menghina raja, maka Umno
lebih lagi menghina raja apabila tidak menjemput Yang di-Pertuan Agong,
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati
di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu. -Hrkh