GLC gagal bantu akhbar Melayu
KUALA
LUMPUR 27 Okt. - Kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad terhadap kegagalan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC)
membantu masyarakat bumiputera mempunyai asas kukuh sebagaimana yang
dapat dilihat kepada pendapatan iklan industri media cetak berbahasa
Melayu yang masih rendah.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia
(USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff (gambar) berkata, walaupun mengaut
keuntungan berlipat kali ganda, GLC masih gagal menunjukkan semangat
patriotisme yang tinggi dalam menyumbang iklan kepada industri media
cetak berbahasa Melayu.
"Belanja iklan untuk media cetak tahun lalu secara keseluruhannya
mencecah RM3.2 bilion, tetapi bahagian yang diperoleh untuk media cetak
berbahasa Melayu adalah sekitar RM400 juta sahaja.
"Angka tersebut itu menyedihkan kerana GLC berbelanja sebanyak RM1.5
bilion untuk promosi dan iklan tahun lalu, tetapi berapa banyak yang
pergi kepada media cetak berbahasa Melayu," katanya kepada Mingguan
Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Dr. Mahathir membidas GLC kerana gagal membantu
meningkatkan keupayaan ekonomi orang Melayu dan tidak lagi berperanan
sebagai pemegang amanah bagi kaum tersebut seperti mana di peringkat
awal penubuhannya.
Menurut Mohamad, masalah yang dihadapi industri iklan tempatan itu turut
disumbangkan oleh kecenderungan GLC untuk menggunakan agensi
pengiklanan antarabangsa serta perancang media antarabangsa.
"GLC sepatutnya mempunyai semangat nasionalisme untuk menggunakan agensi
tempatan, ramai orang-orang kita yang berbakat telah keluar dari agensi
asing untuk membuka syarikat sendiri tetapi tidak dapat hidup kerana
tidak dibantu GLC," katanya.
Beliau menambah, untuk melindungi pendapatan pengeluar iklan bahasa
Melayu khususnya dalam industri media cetak, kerajaan wajar menggubal
Dasar Pengiklanan Negara (DPN) bagi menjamin perkara itu.
"Industri pengiklanan adalah bukti yang menunjukkan agihan dan sumbangan
GLC begitu kecil kepada golongan bumiputera, walaupun belanja iklan
mereka berjuta-juta ringgit, tetapi langsung tidak seimbang kepada
pengusaha bumiputera," katanya.