Beberapa pemimpin NGO semalam enggan mengulas panjang apabila diajukan soalan berhubung pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan jutawan George Soros di New York pada 2010.
Antaranya, ahli Majlis Perundingan Melayu (MPM) Shahbudin Embun yang mendakwa masih belum membaca laporan itu – yang disiarkan Malaysiakini hari ini.
"Saya tidak mahu komen sebab saya tak baca blog itu. Tetapi secara umumnya, semua fakta ini datang daripada blog bahawa Soros tidak mesra dengan kita, tetapi mesra dengan pembangkang "Itu sahaja yang saya mahu komen. Jadi kamu pergi dan tidur dengan Soroslah," katanya dengan sinis apabila ditanya wartawan Malaysiakini dalam satu sidang media hari ini.
Tambahnya, MPM juga merupakan menyokong Najib, institusi demokratik dan instusi raja.
"Kami sebagai NGO, akan mempertahankan negara ini, Datuk Seri Najib, institusi demokratik dalam negara ini dimana Raja adalah ketua dalam perlembagaan.
"Kami tidak mahu campurtangan daripada mana-mana pihak," katanya lagi dalam sidang media berhubung tindakan NGO Suaram yang menimbulkan skandal pembelian kapal selam Scorpene di Perancis.
Begitu juga reaksi beberapa NGO lain yang turut hadir dalam sidang media tersebut, termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Pribumi Perkasa dan Kelab Wartawan Muda Malaysia.
Pemimpin NGO tersebut berkata mereka masih belum membaca laporan berkenaan.
PM Najib bertemu Soros di New York .
br />
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengadakan pertemuan peribadi dengan jutawan George Soros - individu yang dilihat oleh penyokong setia Umno sebagai musuh nombor satu - di New York dua tahun lalu.
Pertemuan tersebut - yang mula-mula didedahkan minggu lepas oleh ahli parlimen Subang, R Sivarasa semasa berdebat dengan Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kassim - berlangsung di sebuah hotel mewah - Hotel Plaza di Manhattan.
Malaysiakini telah mengesahkan pertemuan Najib-Soros dengan satu sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenainya.
Pertemuan perdana menteri dengan Soros, yang dituduh membiayai NGO Malaysia untuk perubahan rejim, berlaku pada 27 September 2010.
Dipercayai sekurang-kurangnya seorang pemimpin tinggi Umno hadir di pertemuan tersebut.
Najib, yang menjadi perdana menteri pada tahun 2009, menyampaikan ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada hari yang sama beliau bertemu dengan Soros.
Dalam ucapan di PBB itu, Najib mencetuskan 'gerakan global moderat' untuk menebus semula agenda keamanan dan pragmatisme.
Di luar perhimpunan agung itu, Najib juga bertemu dengan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan mengadakan perbincangan dengan beberapa ketua kerajaan.
Antara mereka yang mengiringi Najib dalam lawatan itu ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar Datuk Anifah Aman dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Jamaluddin Jarjis.
Soros, seorang peniaga mata wang kontroversi dan seorang dermawan, telah dipersalahkan sebagai punca konflik kewangan yang melanda Malaysia semasa krisis ekonomi tahun 1997-98, dan baru-baru ini, didakwa pula mahu menjatuhkan BN dengan membiayai NGO antikerajaan.
Sejak beberapa minggu lalu, sekumpulan penulis blog prokerajaan dan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, mengecam NGO, termasuk badan hak asasi manusia, Suaram dan gerakan reformasi pilihan raya, BERSIH, kerana menerima pembiayaan daripada Open Society Foundation Soros.
Malaysiakini juga, turut menjadi sasaran ekoran hubungannya dengan MDLF, sebuah dana pelaburan yang memiliki 29 peratus kepentingan dalam portal berita bebas itu. MDLF mengumpulkan modal dari bank, kerajaan dan agensi-agensi pembiayaan, yang termasuk yayasan Soros.
Pada hari Ahad, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut sama menuduh Malaysiakini bersekongkol dengan Soros untuk perubahan rejim bagi "meletakkan calonnya sebagai perdana menteri dan menteri-menteri dalam kerajaan Malaysia".
"Pandangan saya tentang Soros ialah dia masih seorang penyangak mata wang dan dia sebatikan kejahatan ini dengan menggunakan wang untuk meletakkan orang sepertinya untuk memerintah negara-negara yang disasarnya. Dan Malaysia jelas salah satu sasarannya," tulis Dr Mahathir dalam New Straits Times.
Dengan menyambungkan dua titik berbeza, beliau membuat kesimpulan liar bahawa "satu undi untuk pembangkang adalah undi untuk Soros.
" Ironinya, ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri, Bank Negara Malaysia menceburkan diri dalam spekulasi mata wang yang berisiko tinggi - dan ia kerugian sejumlah RM5.7 bilion kepada orang-orang seperti Soros pada awal tahun 1990-an.
Bulan lepas, Malaysiakini mendedahkan bahawa Dr Mahathir, meskipun bermusuh dengan Soros, telah menulis kepada jutawan itu memintanya menyokong projek Forum Keamanan Global untuk mengharamkan peperangan sebagai satu cara bagi menyelesaikan konflik manusia.
Menurut majalah mingguan antarabangsa Economist, menjelang pilihan raya umum ke-13 yang dilihat teramat penting, Umno dan media yang menyokong Umno menyerang mana-mana organisasi yang dianggap bersimpati kepada pembangkang.
"Semua cerita lama yang tidak berasas mengenai pelbagai kumpulan yang dikatakan dibayar oleh Zionis, Amerika atau George Soros, seorang pembiaya asing, telah dikeluarkan semula," katanya dalam satu artikel yang disiarkan awal minggu ini.
"Ia tidak jelas sama ada fitnah sumpama itu masih mendapat tempat di hati pengundi di Malaysia, terutamanya di kalangan umat Islam.
Semua ini pastinya merupakan tanda-tanda terdesak" -mk