
Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan berkata semua ahli perlu menjaga etika ketika membalas serangan dan jangan beremosi semasa menjawab isu-isu yang bermotifkan provokatif.
“PAS perlu respons isu-isu dan serangan bertubi-tubi Umno-MCA-Perkasa yang datang sekaligus. Walaupun provokasi dan serangan mereka membara hati, PAS perlu menjaga etika dalam membalas serangan.
"Ahli dan para pemimpin PAS diseru jangan beremosi semasa menjawab isu-isu yang bermotifkan provokatif,” nasihat beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata tujuan serangan adalah dengan harapan PAS “memberikan reaksi yang salah dan rakyat mendapat persepsi yang menyimpang.”

Tuan Ibrahim berkata kenyataan pimpinan MCA menggambarkan kejahilan mereka terhadap Islam khususnya hukum hudud dan kegagalan Umno memahamkan mereka tentang Islam.
“MCA perlu diajar menghormati budaya dan agama lain serta memahami sensitiviti umat Islam,” tegas beliau.
Beliau juga mengingatkan bahawa Islam mengajar agar menjawab hujah dengan hujah bukan emosi amarah yang tidak terbendung dengan memetik firman Allah yang bermaksud, “Dan apabila kamu berbicara dengan orang yang jahil, maka ucaplah selamat kepada mereka.”
Oleh yang demikian, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa serangan-serangan Umno-MCA-Perkasa mesti dibalas dengan hujah, berhemah dan tertib. Dan dengan itu tersendiri, muka-muka hipokrit Umno dan Perkasa akan terlondeh sendirinya untuk dililhat rakyat.
“Seluruh pimpinan dan ahli PAS ditarbiah untuk beristiqamah dalam perjuangan. Respons dengan berhemah dan tertib. Kita menjawab isu dengan hujah. Dengan ini, muka-muka hipokrit Umno dan Perkasa akan terlondeh sendirinya untuk dililhat rakyat,” kata Tuan Ibrahim.
Beliau turut mengingatkan semua tentang Operasi Lalang yang dicetuskan oleh MCA dan Umno.
“Namun yang ditahan ialah pimpinan PAS dan DAP,” katanya. -Hrkh