Bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang sepatutnya dijadualkan
berlepas ke Bangkok awal pagi tadi membatalkan hasrat tersebut.
Dalam satu kenyataan yang dipetik dari laman web Kelab Koresponden Asing
Thailand (FCCT) yang beribu pejabat di sana, menyatakan bahawa sidang
media berhubung pendedahan serta maklumat terbaru membabitkan pembunuhan
model Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang dibunuh pada 19 Oktober 2006
dibatalkan.
Bagaimanapun punca pembatalan sidang tersebut tidak dapat dipastikan.
Musa mendakwa memperolehi beberapa maklumat penting berhubung misteri
pembunuhan tersebut dan bersedia untuk mengadakan sidang tersebut yang
telah dimuat naik di laman web FCCT pada Sabtu lalu.
Semalam, laman web Asia Sentinel mendakwa Musa akan terbang ke ibu negara Thailand itu seperti yang dijadualkan.
Selasa lalu, Musa menarik balik saman ke atas Ketua Pembangkang, Anwar
Ibrahim berkenaan skandal mata lebam yang dilakukan bekas ketua polis
negara, Rahim Noor pada 20 September 2008 selepas Anwar dipecat dari
kerajaan pada 2 September tahun yang sama.
Difahamkan, Musa pada awalnya telah membuat persetujuan tersebut
beberapa minggu lalu tetapi secara tiba-tiba mendakwa tidak mengetahui
apa-apa tentang perkara tersebut ketika dihubungi awal pagi semalam.
Desas-desus berkenaan Musa yang kini dipercayai mahu menyertai salah
satu parti dalam Pakatan Rakyat serta dikatakan diberikan arahan khas
oleh pemimpin politik tertinggi Malaysia adalah punca utama mengapa ia
tidak diadakan.
Ketika pembunuhan Altantuya, Musa adalah ketua polis negara ketika itu
dan telah bersara wajib pada 13 September 2009 tetapi disambung kontrak
selama setahun lagi setelah berkhidmat selama 41 tahun dan digantikan
oleh Ismail Omar sehingga sekarang.
-JALAN PULANG