KOTA BHARU:
Hari ini genap 22 tahun usia kerajaan di bawah dasar Membangun Bersama
Islam (MBI). Tanggal 22 Oktober 1990 kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah
berjaya dibentuk.
DAP diwakili Penasihatnya, Lim Kit Siang dan Ketua Penerangan PKR, Dr
Muhd Nur Manuty merakamkan ucapan tahniah usia 22 tahun kepemimpinan
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Begitu juga Presiden PAS dan pelbagai pihak tidak ketinggalan merakam ucapan sama.
“Tahniah PAS di Kelantan kerana berjaya mempertahankan kerajaan
negeri sehingga melewati tahun ke-22 sekarang,” kata Datuk Seri Tuan
Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, gabungan PAS bersama Semangat 46, Berjasa dan Hamim
berjaya membentuk kerajaan selepas menumbangkan Umno dan BN dengan 39 – 0
di peringkat Dun.
“Saya masih ingat selepas Umno dan BN berjaya ditumbangkan di
Kelantan, Presiden PAS ketika itu Allahyarham Datuk Fadhil Mohd Nor
mengarah diadakan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di Kota Bharu.
“Ketika itu diputuskan Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya menerima jawatan sebagai Menteri Besar.
“Namun pada awalnya beliau tidak mahu dan meminta dicari pemimpin
lain. Bagaimanapun jawatankuasa PAS Pusat berkeras supaya beliau
menerima juga jawatan Menteri Besar.
“Ini cukup penting bagi melakar satu sejarah baru buat PAS, dan ia
terbukti berjaya sekarang,” katanya pada ceramah perdana sempena
ulangtahun ke-22 kerajaan Kelantan di Dewan Jubli Perak malam tadi.
Hadir sama Menteri Besar, Lim Kit Siang, Dr Muhd Nur Manuty, Timbalan
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil
rakyat.
Ceramah tersebut sepatutnya diadakan di padang perdana, namun
disebabkan hujan lebat terpaksa dipindahkan ke dalam Dewan Jubli Perak
MPKB BRI.
Orang ramai tetap hadir biar pun keadaan hujan yang mencurah-curah di Kelantan sejak Jumaat lalu.
Presiden berkata, kerajaan Kelantan yang diketuai PAS berjaya
menempuh pelbagai halangan dan sekatan sepanjang 22 tahun mentadbir
negeri ini.
Katanya, Umno mewujudkan juga jawatan JKKK biar pun bidang kuasanya di bawah kerajaan negeri.
“Oleh itu menjadi tanggungjawab rakyat Kelantan untuk terus
mempertahankan negeri ini ketika Pakatan Rakyat sedang bergerak ke
Putrajaya sekarang.
“Kelantan yang menjadi guru kepada perubahan politik di negeri-negeri lain sekarang mesti terus dipertahankan,” ujarnya.
Sementara Lim Kit Siang yang juga anggota parlimen Ipoh Timur
menjelaskan DAP tidak pernah berhasrat menjadikan negara ini sebagai
sebuah negara Kristian.
“Mana boleh kerana perkara yang terkandung dalam perlembagaan sudah
jelas,” katanya menjawab isu yang dibangkit media Umno sebelum ini.
Menurutnya juga kejayaan berganda Kelantan termasuk menjuarai Piala
Malaysia seakan-akan memberi isyarat peluang Pakatan mara ke Putrajaya
semakin jelas. -Hrkh