Ikuti Blog ini

Muktamar: Medan jihad untuk menangkan Islam


KUALA LUMPUR: Para pendukung PAS diseru menjadikan Muktamar Tahunan PAS ke-58 sebagai medan meningkatkan semangat jihad dalam meneruskan usaha memenangkan perjuangan Islam di Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana muktamar kali ini merupakan ijtimak terakhir parti sebelum menghadapi PRU13.

“Jadikan ia medan meningkatkan semangat jihad dalam meneruskan usaha memenangkan perjuangan Islam di Malaysia,” ujarnya.
Beliau menegaskan, PAS yakin perwakilan akan menggunakan kesempatan ini untuk saling mengukuhkan gerak kerja, mengemaskan jentera dan meningkatkan pengorbanan seluruh ahli.

Menurutnya, muktamar diadakan sempena bulan hijrah bagi mengingatkan pimpinan dan ahli kesukaran Rasul dalam mempertahankan Islam sehingga menuntut pengorbanan yang besar seluruh pihak Muhajirin dan Ansar.

Katanya, pemilihan bulan Muharam sebagai bulan muktamar mempunyai matlamat terselindung agar dapat dihayati oleh seluruh perwakilan dan pemerhati.

“Inilah masa terbaik menggerakan semangat dan pengorbanan. Marilah kita hayati ucapan Presiden sebagaimana para sahabat mendengar arahan daripada Rasulullah,” ujarnya dalam Facebook.

Justeru, beliau berharap janganlah ada yang berjalan terlalu laju sehingga meninggalkan pengikut di belakang, dan jangan pula terlalu perlahan sehingga orang di belakang menendang kaki orang di hadapan.

“Kita berjuang di atas satu saf yang kukuh, ibarat bangunan yang tersusun teguh. Jangan terganggu perjalanan ini kerana adanya panggilan-panggilan kiri kanan yang berusaha untuk melengahkan kemenangan Islam.

“Ya Allah, satukan kami, perteguhkan azam kami dan terimalah taubat kami,” ujar beliau lagi. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .