Ikuti Blog ini

"The worst of Pakatan Rakyat is a lot better than the best of Barisan Nasional"


Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk ke Putrajaya

Muktamar PAS kali yang ke-58 memberangsangkan Rakyat. Muktamar kali ini merupakan muktamar yang terakhir sebelum PRU di adakan jika pilihanraya benar-benar akan di adakan. Muktamar di Putik Kelantan ini amat memberikan semangat kepada pihak yang inginkan perubahan kerana tanda-tandanya semakin hari semakin jelas tentang kejayaannya.

Semasa menyampaikan ucapan dasarnya, Tok Guru Hj Hadi Awang (TGHA) telah menyentuh isu-isu politik secara menyeluruh dan mampan serta sangat penting untuk di ikuti dan di tarbiyah secara menyeluruh oleh sesiapa yang berminat tentang perkembangan dan kemajuan PAS sebagai satu dari tiga komponen penting dalam Pakatan Rakyat.

Yang menariknya ucapan itu juga telah menyentuh tentang apa yang bakal dihadapi oleh PAS dan PR semasa menghadapi PRU itu nanti. TGHA telah meminta semua ahli-ahli dan penyokong serta unit amal parti supaya menjalankan tugas dengan bijaksana dan tekun untuk menghadapi ombak pertahanan BN khususnya UMNO iaitu pencurahan wang yang berbilion ringgit. Wang merupakan senjata yang terakhir untuk BN kerana untuk mendapatkan sokongan dan dukungan rakyat secara sukarela dengan perjuangan sudah tidak wujud lagi di dalam UMNO dan BN.

UMNO akan menggunakan wang yang banyak untuk membeli undi dan ia akan memakan jumlah yang besar dan wang itu tentulah datangnya dari sumber rasuah. Wang rakyat sendiri yang telah di curi secara sistematik oleh pimpinan UMNO. UMNO sudah tidak ada sokongan, maka parti itu terpaksa membeli perasaan dan jiwa orang Melayu khususnya. Wang jugalah yang akan digunakan untuk menyatukan ahli-ahlinya semasa PRU itu nanti kerana UMNO akan mula berpecah diperingkat bawahan sejurus calon-calon mereka diumumkan.

TGHA juga menyentuh tentang pentingnya PAS bersedia dengan media massa alternatif yang efektif seperti Harakah dan Harakah on line. Untuk menafikan fitnah dan cemuhan yang akan dilakukan oleh UMNO khususnya oleh Utusan serta kumpulan New Straits Times yang berpihak kepada parti kerajaan secara tidak beretika selama ini.

Presiden PAS itu juga telah menelah yang UMNO akan memainkan isu perkauman dengan hebat sekali kerana UMNO kini sudah begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. UMNO sedar yang rakan kongsinya MCA tidak lagi dihormati oleh bangsanya sendiri yang kini sedang memberikan sokongan yang padu kepada PR.

TGHA juga telah memperbaharui azam PAS untuk bersama-sama PR untuk menjayakan cita-cita pembaharuan untuk negara ini. UMNO dan BN akan berterusan untuk memisahkan di antara parti-parti yang ada di dalam Pakatan Rakyat kerana itu sahajalah yang tinggal harapan BN untuk terus mendapatkan mandat bagi menyambung kuasa yang tinggal hanya beberapa bulan sahaja lagi ini.

UMNO tidak akan ada sempadan dalam tindakan mereka mempertahankan kedudukan mereka. Ia akan melampaui batas undang-undang serta etika berpolitik secocok dengan sebuah negara yang mengaku sebagai negara demokrasi.

UMNO akan sanggup untuk menjadikan negara ini kucar kacir asalkan mereka dapat mempertahankan kuasa mereka. Sebutkan apa sahaja, mereka akan lakukan. UMNO tidak dapat menyerapi unsur demokrasi di dalam pemikiran mereka. Bagi mereka demokrasi itu adalah kemenangan untuk mereka sahaja. Jika mereka kalah dan tidak mendapat mandat itu bukanlah demokrasi bagi mereka.

Tidak ada ruang di dalam artikel ini untuk memberikan ulasan secara ‘detail’ terhadap ucapan yang mantap TGHA ini tetapi cukup bagi saya memberikan gambaran yang ucapan telah menyentuh bidang ekonomi sebagai sebuah negara berkebajikan yang menjadi tuntutan agama itu. TGHA juga telah menyentuh tentang isu sosial yang mendesak untuk di selesaikan serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita.

TGHA telah berkata dengan terang dan jelas yang PAS sudah bersiap sedia untuk menuju ke Putrajaya bersama-sama rakan dalam Pakatan Rakyat dan tidak mempunyai masalah untuk membuktikan kepada rakyat yang PR mampu untuk membuktikan kelainan dalam pentadbiran baru negara nanti.

Di dalam muktamar ini juga PAS telah menerima permohonan dari seorang bekas pegawai tinggi kerajaan iaitu Tuan Haji Nahwari Hashim sebagai ahli PAS dan ini merupakan lanjutan kepada tindakan ramai bekas pegawai kerajaan yang menyertai PAS sebelum ini PAS nampaknya semakin jelas merupakan parti pilihan bagi orang Melayu seperti juga parti-parti lain dalam Pakatan dan ini adalah pemangkin kepada PAS untuk menjadi parti yang mendapat sokongan setiap lapisan rakyat yang berbilang kaum ini.

Sempena muktamar ini juga telah di adakan Himpunan Rakyat yang sangat besar kehadirannya di stadium Sultan Mohamad ke-empat. Seramai 30,000 ribu rakyat jelata telah membanjiri stadium itu untuk menunjukkan kepada ramai yang rakyat benar-benar serius untuk melakukan perubahan kali ini. Mereka ini datang tanpa dibayar dan diberi makan karipap dan sebagainya, jauh sekali untuk diberikan baju T atau topi dan perkara-perkara yang lain seperti yang terpaksa di adakan oleh UMNO jika hendak membuat perhimpunan mereka. Satu-satu perhimpunan yang hendak dilakukan oleh UMNO akan memaksa parti itu berbelanja berjuta-juta ringgit untuk menjayakannya.

PAS yang di fahamkan akan bertanding di 70 kawasan parlimen akan memenangi jauh lebih banyak kerusi dari yang mereka dapati semasa PRU 2008 dahulu. PAS tidak syak lagi akan menjadi parti yang dominan dalam pentadbiran baru nanti dan saya secara peribadi tertunggu-tunggu ‘ambience’ politik yang baru itu.

PR akan membuktikan yang mereka lebih baik dari pentadbiran BN. Seperti biasa dalam politik penilaiannya adalah secara relatif. Tetapi PR pasti merupakan ‘coalition’ yang lebih baik dari BN.

Seperti yang saya sebutkan selalu, ‘the worst of Pakatan Rakyat is a lot better than the best of Barisan Nasional’.

Yang ‘perfect’ hanya ada kepada Maha Pencipta, Allah SWT sahaja. 
-Aspan Alias
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .