Ikuti Blog ini

Tak terima perbezaan idea punca samseng politik




 
SHAH ALAM: Pencetus kepada wujudnya politik samseng berkemungkinan hasil daripada kongkongan yang dilakukan dalam demokrasi politik negara ini, kata peguam Hanipa Maidin.

Bercakap dalam Wacana Sinar Harian hari ini beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, politik samseng itu juga wujud apabila pemain politik itu tidak mahu menerima kepelbagaian pandangan politik sebagai satu pertembungan sihat.

Malah katanya, ia menjadi lebih parah jika satu pihak itu melihat idea pihak lain sebagai ancaman kepada mereka.

"Mereka selalunya merasakan idea mereka tak diterima, mereka tidak senang dan iri hati dengan idea orang lain, maka timbul politik samseng," katanya.

Wacana Sinar Harian ke-16 hari ini membincangkan tajuk "Politik Samseng, Di Mana Maruah Kita?"

Wacana tersebut dibarisi panel Presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Bekas Ketua Negara, Tan Sri Musa Hassan dan juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

Penganalisis Politik, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar pula bertindak sebagai perantara wacana tersebut.

Menurut Hanipa lagi, politik samseng mungkin boleh dielak jika parti-parti politik melihat pertembungan idea sebagai sesuatu yang boleh diterima oleh semua pihak.

"Bila suasana pertembungan idea yang sihat dapat kita lakukan maka budaya samseng itu tidak akan berlaku dan selepas itu biarlah rakyat yang membuat pilihan siapa yang mereka pilih," jelasnya.

Hanipa juga berpendapat jika wujud kebebasan yang sekata untuk bersuara serta menyampaikan idea, maka suasana politik negara akan terus berlangsung dengan lebih aman.

"Di Malaysia kita lihat suasana samseng itu ditimbulkan oleh pemimpin itu sendiri yang tidak dapat menerima pendapat yang baru.

"Untuk menghapuskan suasana tersebut kita perlu lakukan perubahan terhadap kepimpinan yang ada, bila ini dilakukan saya pasti suasana itu kembali aman," jelas beliau. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .