ULASAN Saya terasa teringin untuk
menulis sesuatu hari ini. Agak lama tidak menyatakan pandangan, mungkin
kerana terpaksa menahan diri dari melakukannya kerana ada tugas penting
yang perlu diselesaikan tanpa memberi peluang kepada mana-mana pihak
mentelaah secara negatif. Hari ini setelah semuanya selesai maka
sementara duduk di rumah elok dituliskan sesuatu agar mampu memberi
sedikit pencerahan.
Ramai melihat agenda melantik menteri besar
di Selangor dan barisan Exco dengan kanta pandang dekat. Ramai mungkin
yang mahu memberi pandangan walaupun dalam banyak masa mereka tidak
mempunyai sebarang maklumat tepat untuk membuat komen. Maka wujudlah
beberapa siri perbincangan panas antaranya Istana campurtangan dalam
pemilihan Exco, politik kuno berpaksikan kaum, politik order lama yang
tidak sensitif gender dan bermacam lagi.
Bila ada ura-ura
kononnya istana atau lebih khusus lagi DYMM Sultan cuba memberi nasihat
dan pandangan dalam pelantikan Exco maka terus sahaja kita membuat
kesimpulan bahawa Tuanku mahu campurtangan dalam pentadbiran negeri,
baginda seorang yang rasis dan hanya memihak kepada orang Melayu.
Tidak
sedikit yang menyatakan rasa marah dan tersinggung serta kesedihan
mereka dengan berita tersebut. Ramai kita terlupa bahawa politik Pakatan
Rakyat yang kita bawa adalah politik baru dengan semangat politik
inklusif, yakni ruang bersuara dan memberi pandangan terbuka luas kepada
semua pihak dan saya berpandangan ianya tidak terkecuali kepada pihak
istana.
Lebih malang apabila timbul cerita bahawa pihak istana
mahu formula 6:4 (Melayu: Bukan Melayu) digunapakai dan isu kaum terus
dimainkan tanpa cuba melihat mungkin ada sudut lain yang lebih positif
dan membina yang boleh dilihat. Bila kita lihat keputusan 15:15:14 PAS
DAP dan PKR, ini bermakna keputusan tersebut telah melonjakkan kerusi
PAS yang dahulunya hanya lapan kepada 15 kerusi.
Sedar atau tidak
dengan lonjakan tersebut telah sekaligus membenamkan tohmahan
Umno-Najib bahawa PRU 3 adalah Tsunami Cina hingga membawa kepada
keceluparan melampau apabila mereka mengatakan “Apa Lagi Cina Mahu”.
Kawasan majoriti Melayu di Sepang dan Sabak yang dimenangi oleh PAS
telah memusnahkan ego Najib dan kuncu utamanya Md Zin.
Justeru,
dengan memperolehi 15 kerusi amat wajar PAS diberikan penghargaan kerana
bukan sahaja memang mereka telah melonjakkan kerusi Pakatan Rakyat
hingga mendapat 3/4 majoriti di dalam Dewan, malahan telah menafikan
jolokan Tsunami Cina yang cuba dimainkan oleh Umno. Ianya saya lihat
telah menggagalkan usaha Umno untuk memalukan masyarakat Melayu di
Selangor hingga boleh mewujudkan ketegangan kaum.
Saya
berpendapat inilah yang cuba dibayangkan oleh Tuanku semasa membuat
keputusan untuk tetap memberi pandangan kepada MB bahawa rayuan MB di
saat akhir dengan tujuan memberi 4 kerusi Exco kepada DAP tidak boleh
dirai. Namun, benar percakapan umum bahawa politik terbaca atas persepsi
dan bukan dari niat sebenar. Maka persepsi menggambarkan Tuanku seperti
anti-Cina dan hanya mementingkan politik orang Melayu.
Bagaimana
pula hari ini? Setelah melihat pentadbiran PR Selangor dengan berani
mencipta sejarah melantik YB Puan Hannah Yeoh sebagai Speaker lantas
menjadi Wanita (Cina) pertama yang menduduki kerusi tersebut adakah
persepsi di atas masih terpakai? Terbukti hari ini politik Selangor
telah menjangkau ke hadapan - meninggalkan politik rasis dan gender ke
belakang. Tidak terfikirkah kita bahawa DYMM Tuanku juga memainkan
peranan besar di dalam sejarah yang kita cipta ini?
Sejarah mampu
dicipta di Selangor ekoran dari proses konsultasi, tawar menawar,
tikaman lidah hingga mewujudkan kerjasama erat dan kebijaksanaan Menteri
Besar, pemimpin Pakatan Rakyat hatta dari keperihatinan DYMM Tuanku
sendiri.
Sebenarnya saya tidak hadir pada majlis angkat sumpah
Exco yang penuh istidat dan bersejarah hari ini kerana khuatir kokokan
batuk yang saya alami sejak PRU dahulu akan mengganggu keharmonian
upacara. Meskipun saya dijemput sendiri oleh Dato Pengelola Istana tapi
saya terpaksa menolaknya walau dengan hati yang berat.
Biarlah
acara gemilang berlangsung cemerlang tanpa ada bunyi atau suara
sumbang-garau yang mencemar majlis. Cukup sekadar menyediakan teks
sembah ucapan Dato Menteri Besar kepada Tuanku menjadikan saya
seolah-olah berada di sana merai hari bahagia rakyat Selangor.
Memandangkan
saya ada kelapangan berada di rumah, saya mengambil kesempatan membuat
catatan ini dengan hasrat mahu mengimbangi keghairahan kita memberi
pendapat dengan harapan dapat mengecapi politik ideal. Ghairah
mengetengahkan harapan agar tiada campurtangan istana dalam pentadbiran
negeri.
Harapan agar politik tidak diukur dengan ras dan kaum.
Harapan agar politik kita terkeluar dari kekangan gender. Saya akui
semua harapan itu memang baik dan ideal; tidak keterlaluan jika saya
katakana itulah suasana politik yang didambakan oleh kebanyakan rakyat
Malaysia.
Namun pada saya, apa yang lebih penting ialah natijah
dan hasil dari proses yang kita ambil dalam berpolitik. Maksud saya,
apa yang kita lihat di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Pentadbiran Selangor membariskan barisan Exco yang mempunyai cukup
representasi dari Melayu, Cina dan India. Selangor lengkap dengan
reprentasi Wanita dalam Exco yakni sebanyak 40 peratus.
elangor
mencipta sejarah apabila buat julung-julung kalinya melantik seorang
Speaker wanita berbangsa Cina dan timbalan speaker termuda di dalam
sejarah politik negara. Pakatan Rakyat Selangor berjaya membariskan
barisan Exco profesional pelbagai bidang dan jurusan; Peguam, doktor,
arkitek, dentis hatta seorang ilmuan agama seperti Ustaz Solehin Muhyi.
Rakyat
Selangor pula semuanya berbangga menjadi rakyat di negeri Selangor yang
telah memilih pimpinan mereka yang pelbagai bidang. Cuma satu perkara
yang ingin saya ketengahkan, di sebalik kegembiraan dan kebanggaan yang
kita semua rasai ketika ini, harus diketahui juga ianya bukan datang
dengan sendiri.
Bukan juga dengan campurtangan mana-mana pihak.
Ianya adalah hasil dari proses bertikam lidah, konsultasi, perbincangan
serta tawar menawar yang dilakukan semua pihak; parti-parti politik,
pegawai eksekutif di pejabat Menteri Besar dan pegawai di istana.
Malah
yang lebih besar lagi apabila DYMM Tuanku sendiri yang ada ketika pada
siri menghasilkan barisan Exco dan speaker, telah sanggup mencemar
duli. Pada saya, sejarah hari ini telah dicipta semua orang baik dari
keturunan raja hinggalah pacal rakyat marhaen dan budak suruhan pejabat
serta para bentara di istana.
Syabas rakyat Selangor dan tahniah
kepada pimpinan yang dilantik menerajui pentadbiran negeri. Selamat
menjalankan tugas - bekerja demi rakyat tanpa memihak kepada sesiapa dan
tanpa rasa takut kepada manusia. Sesungguhnya rakyat hakim negara dan
Allah pemilik sekalian alam.
FAEKAH HUSIN setiausaha politik kepada menteri besar Selangor.