Ikuti Blog ini

Peserta HKR112 sumbang lebih RM280,000


KUALA LUMPUR: Lebih RM280,000 sumbangan wang dikumpulkan pada Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), Sabtu lalu.

Menurut Pengarah Jawatankuasa HKR, Mohamad Sabu, jumlah tersebut dapat dikumpulkan sejurus beliau mengumumkan dan melancarkan kutipan derma di Stadium Merdeka.

"Maknanya, dalam masa yang singkat, para peserta begitu bermurah hati mengeluarkan wang poket mereka hingga berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak itu," kata beliau, hari ini.

Kutipan derma tersebut meliputi peserta yang berada di dalam stadium dan juga di luar stadium.

Mohamad, yang juga merupakan Timbalan Presiden PAS, mengucapkan berbanyak terima kasih kepada peserta-peserta yang menghulurkan sumbangan pada program bersejarah itu.

"Mereka bukan sahaja sanggup datang dari seluruh pelusuk negara, sanggup berjemur berpanas, tidur di masjid, dan bersantai di tepi jalanan, mereka juga sanggup mengeluarkan wang mereka untuk memberikan sumbangan," kata beliau.

Sebelum itu, Mohamad menafikan dakwaan yang mengatakan peserta hari itu dibayar RM150 seorang untuk hadir ke program tersebut.

Sedangkan katanya, pihak penganjur bukan sahaja tidak membayar mereka, sebaliknya mahu meminta sumbangan daripada para peserta.

Pada HKR Sabtu lalu, Ahli MPT PKR, Datuk Johari Abdul yang mempengerusikan sesi kedua ucapan pemimpin politik memaklumkan pihak stadium mengenakan bayaran sewa sebanyak RM100,000 kepada penganjur.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani meminta petugas untuk membuat kutipan derma kali kedua bagi tujuan itu. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .