Rakyat Malaysia berarak dari Trafalgar Square ke Parlimen
LONDON, 13 Jan : Sekumpulan rakyat Malaysia di bandar raya ini menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat sebagai tanda solidariti kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang berhimpun d Stadium Merdeka semalam.
Mereka membawa bendera Malaysia, melaungkan slogan menuntut pilihan raya yang bebas dan adil serta kain pemidang bertulis, ‘bebaskan media Malaysia, ‘bersihkan senarai undi’, ‘kerajaan Malaysia paling rasuah di dunia’ dan ‘Jom balik undi’.
Mereka berarak sejauh satu kilometer dari Trafalgar Square melalui Downing Street menuju ke tapak himpunan di depan bangunan Parlimen Westminster.
Perhimpunan yang turut disertai kanak-kanak itu berlangsung aman, dengan polis trafik London mengawal lalu lintas sepanjang perjalanan.
Dalam jemputan facebook Himpunan Kebangkitan Rakyat London KL112, penganjur menetapkan jam 12 tengah hari waktu London untuk berkumpul di Trafalgar Square dan menggalakkan peserta memakai baju kuning.
Penganjur turut menyatakan rasa gembira apabila mengetahui Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 berlangsung aman di Stadium Merdeka di Kuala Lumpur.
Peserta turut membacakan semula ikrar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bebas & Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreevenasan yang meminta rakyat Malaysia untuk pulang dan menjadi pemantau pilihan raya sempena kempen ‘Citizen Election Observers’ (Masyarakat Pemerhati Pilihan Raya) Selain kota London dan Kuala Lumpur, Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 turut diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, Jordan, Kaherah, Mesir dan bandar lain diseluruh dunia.
Lebih 500,000 rakyat Malaysia berhimpun di Stadium Merdeka semalam, yang dianggap sebagai perhimpunan paling besar dan paling aman dalam sejarah. -KD
500 rakyat Malaysia di Kaherah berhimpun
Kira-kira 500 orang rakyat Malaysia di Kaherah, Mesir berhimpun sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kuala Lumpur semalam.
Perhimpunan itu berjaya diadakan walaupun mendapat ancaman yang tidak profesional daripada pihak kedutaan.
Ancaman itu tidak menghalang semangat anak-anak muda ini untuk menyatakan hasrat mereka melihat negara mereka dipimpin oleh mereka yang amanah, keadilan dan demokrasi.
Anak-anak muda ini tampil dengan menutup muka, membawa sepanduk dan melaungkan seruan kebangkitan rakyat.
Himpunan ini sepatutnya dihadiri oleh pimpinan ikhwan Muslimin Dr. Kamal Helbawi tetapi di minit-minit akhir, beliau mempunyai komitmen yang lain.
Sementara itu, Timbalan Presiden Ikatan Lepasan Mesir Malaysia (Ilmam) Mohd Asri Md Daud ketika dihubungi, menyatakan kekesalan terhadap apa yang dilakukan oleh pihak kedutaan Mesir kepada rakyat dan pelajar Malaysia di sana.
"Bukan persoalannya himpunan atau tidak, tetapi ancaman itu adalah satu unsur tidak profesional dan menafikan hak demokrasi rakyat Malaysia dan di Mesir," tambah asri.
Ilmam juga akan menghantar memorandum dalam masa terdekat ke Kementerian Luar bagi menyatakan kekesalan terhadap duta dan kedutaannya yang tidak mencerminkan sikap terbuka kerajaan yang membenarkan HKR di Stadium Merdeka. -HD