(Kartun yang dihasilkan Zunar kini menghiasi papan-papan iklan di tepi jalan)
KUALA LUMPUR: Dari berjuang melalui lukisan di dalam akhbar, laman web dan pameran lukisan, kini lukisan kartun yang dihasilkan oleh kartunis Zunar terpampang di papan-papan besar.
Pelbagai jenis lukisan yang dibuat Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ulhaq, kini di pasang di tepi-tepi jalan dan pusat perhimpunan orang ramai.
Zunar membuat perkara ini bersama dengan rakan -rakannya yang bertungkus lumus mahu memenangkan perjuangan rakyat dalam pilihan raya umum kali ini.
"Saya buat ini untuk rakyat," kata Zunar dalam satu majlis.
Nama Zunar mula popular melalui majalah kartun Gila-gila. Kemudiannya beliau menjadi kartunis utama akhbar Berita Harian.
Apabila reformasi meletus 1998, Zunar menyertai Harakah menjadi kartunis dengan akhbar milik PAS itu.
"Sumbangan utama Zunar adalah semasa pilihan raya umum 1999. Ketika itu Zunar bersama redaksi Harakah membuat keluaran khas untuk pilihan raya tersebut," kata Zulkifli Sulong Ketua Pengarang Harakah ketika itu.
Ketika itulah Harakah berada di kemuncaknya apabila diedarkan 350,000 naskah setiap keluaran dan kemuncaknya 380,000 naskah menjelang hari mengundi pilihan raya umum 1999.
Hasilnya, dalam pilihan raya itu PAS mendapat dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu di samping dapat menghantar 27 pemimpinnya ke Parlimen.
Kini Zunar bergerak bersama rakan-rakan kartunis mengasilkan pelbagai jenis kartun untuk pelbagai jenis media.
Beliau pernah membuat kartun pameran solo di London. Tahun lepas, beliau juga membuat pameran solo kartun di Shah Alam. -Hrkh