Berita yang mengatakan UMNO akan menghadapi masalah besar dalam sehari
dua ini telah saya dengar seminggu dulu. Semalam saya mendengar pula
banyak cawangan UMNO akan dibubarkan di Selangor terutamanya akan
berlaku dalam tempoh yang terdekat ini.
Jika benar berita ini ia tidak mengejutkan kerana saya telah menyebutnya
setahun dahulu tetapi tidak pula menyangka yang keadaannya sampai
ketahap membubarkan cawangan-cawangannya.
Saya selalu memberikan komen tentang hasrat Najib dan
Muhyiddin yang kali ini UMNO akan menurunkan calon-calon yang
‘winnable’. Blog ini selalunya menyatakan yang mana mungkin UMNO boleh
menurunkan calon yang ‘winnable’ sedangkan UMNO itu sendiri sudah tidak
‘winnable’ lagi. UMNO tidak ‘winnable’ lagi kerana pimpinannya tidak
‘winnable’.
Jika kita lihat di Selangor, pemimpin yang sibuk untuk mengambil alih
kerajaan PKR ini adalah pemimpin yang sama yang telah di tolak oleh
rakyat Selangor dalam pilihanraya lalu. Tidak nampak ada pimpinan baru
yang boleh meyakinkan rakyat Selangor. Malahan pimpinan UMNO Selangor
telah kehilangan hidayah samasekali dengan meminta Zulkifli Nordin
sebagai calon bagi kawasan elit Shah Alam dan ini sekali gus menjadikan
orang ramai tidak lagi yakin terhadap kewibawaan UMNO Selangor itu.
Penyertaan Zulkifli Nordin itu bukan sahaja menjatuhkan imej UMNO itu di
Selangor tetapi menjatuhkan keyakinan ramai terhadap UMNO di seluruh
negara. Itu belum di tambah lagi dengan isu yang berlaku di Pasir Mas
dalam mana UMNO sendiri telah berperanan untuk meletakkan Ibrahim Ali
sebagai calon UMNO malalui pencalonan bebas di sana. Semakin hampir
kepada plihanraya semakin banyak perkara yang buruk dihadapi oleh UMNO
itu.
Di sebaliknya pihak PAS telah mendapat lonjakkan yang besar di Selangor
dengan penyertaan TS Muhammad Taib dalam PAS yang sekali gus
meninggalkan UMNO buat selama-lamanya. UMNO telah mengabaikan ramai
pimpinan kerana ramai pimpinan yang tidak bersetuju dengan pucuk
pimpinan tidak di indahkan oleh UMNO. Semangat PAS dan rakan Pakatan
telah naik mendadak dengan penyertaan Muhammad Taib. Jika berita banyak
cawangan UMNO akan di bubarkan di Selangor itu terjadi dalam masa yang
terdekat ini, ia tentunya sedikit sebanyak kerana pengaruh Muhammad Taib
itu tadi.
Itulah keadaan sebenarnya walaupun cuba diselindungi oleh UMNO sendiri.
Keadaan ini telah menyebabkan UMNO itu tidak mungkin berjaya meletakkan
calon ‘winnable’ dalam pilihanraya kali ini kerana UMNO itu sendiri
bukan parti yang ‘winnable’.
Apa yang dihadapi UMNO sekarang ini bermula tiga puluh tahun dahulu.
Penyakitnya sudah berada dalam parti itu sejak itu dan penyakit itu
beransur-ansur merebak keseluruh tubuh UMNO itu sendiri sehinggakan ia
sudah melumpuhkan seluruh tubuh parti itu.
Sejak hampir tiga dekad dahulu saya mengkritik dari dalam kerana di
setiap peringkat pemimpin-pemimpin yang ‘winnable’ telah dihapuskan oleh
sistem berparti yang di mulakan oleh Dr Mahathir. Ramai pimpinan UMNO
di peringkat Bahagian telah di ketepikan dan hasilnya UMNO terpaksa
memilih calon-calon ‘winnable’ dari kumpulan pemimpin yang tidak
‘winnable’ dalam sebuah parti yang sudah lama tidak ‘winnable’ lagi.
Rupa-rupanya kami terpaksa mengambil masa hampir 30 tahun untuk
membuktikan kebenaran ini. Bagi ahli-ahli UMNO yang sedar, dan sebagai
orang Melayu saudara-saudari sekelian wajar memberikan dukungan kepada
PAS kerana PAS sahajalah yang ada sebagai pilihan kepada orang Melayu
sekarang ini.
Kewajaran orang Melayu untuk beramai-ramai memberikan sokongan kepada
PAS itu tidak boleh dinafikan oleh sesiapa kecuali mereka yang sudah
hilang segala hidayah politik mereka. PAS sahajalah nampaknya sampai
kesaat ini membuktikan segala janji-janjinya di tepati.
Yang lain itu mungkin masih bergelumang dengan masalah-masalah
masing-masing, dari masalah berebut-rebut jawatan kerana masih mempunyai
DNA UMNO itu, dan masalah parti yang masih rasis yang masih tidak dapat
di pecahkan dalam ‘mind-set’ mereka.
Oleh kerana yang lain itu masih dengan cara mereka yang lama maka rakyat
harus memilih parti yang sudah benar-benar terbuka untuk perubahan yang
di mahukan oleh rakyat sekarang ini. ~aspan alias